SINOPSIS
Novel ini mengisahkan tragedi yang berlaku dalam keluarga Kamarul Azam. Kamarul Azam meminta kebenaran daripada ayahnya, iaitu Encik Razali dan ibunya Puan Katijah untuk mengadakan perkhemahan bersama-sama dengan beberapa orang Pengakap dan Pandu Puteri kanan sekolah untuk mengambil Ujian Kelas Pertama. Kebetulan pada hari itu Encik Razali perlu mengiringi Menteri Pertanian sebagai Wartawan Kehormat dalam rangka lawatan ke negeri-negeri utara Semenanjung. Malangnya, suatu kejadian yang tidak diduga berlaku, iaitu kapal terbang yang dinaiki oleh Encik Razali yang berlepas dari Lapangan Terbang Bayan Lepas telah dirampas penjenayah. Kapal terbang jenis Boeing 737 HM 356 membawa seramai 93 orang penumpang bersama dengan tujuh orang kakitangan.
Semasa aktiviti perkhemahan, Kamarul Azam dapat melihat kapal terbang itu meletup di udara tetapi tidak menyangka bahawa ayahnya turut berada di dalam kapal terbang tersebut. Kejadian tersebut berlaku di kawasan Tanjung Pangku, Johor. Azam dan Razi yang cuba pergi ke tempat kejadian itu telah diculik oleh beberapa orang lelaki bersenjata yang dipercayai bersubahat dengan rampasan tersebut. Mereka membawa Azam dan Razi ke tengah laut. Kemudiannya, mereka meninggalkan Azam dan Razi selepas melepaskan dua das tembakan pada lantai motobot.
Motobot yang dinaiki oleh Azam dan Razi dipenuhi air dan terbalik di tengah laut. Azam dan Razi bernasib baik kerana mereka diselamatkan oleh Pak Widodo Samsi, iaitu nelayan dari Pulau Rangsang, Sumatera Timur. Dengan bantuan Antik, iaitu anak lelaki Pak Widodo, Azam berjaya pulang ke Johor. Azam berkesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah arwah ayahnya. Pihak polis telah menjumpai catatan tentang rampasan itu yang mungkin ditulis oleh Encik Razali. Kerjasama antara Polis Malaysia dengan Polis Indonesia membolehkan Antik pulang semula ke Indonesia. Azam berharap agar penjenayah yang merancang rampasan kapal terbang itu akan segera ditangkap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan