Rabu, 25 November 2009

RINGKASAN DAN PEMAHAMAN


Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab lokasi perpustakaan perlu strategik . Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Lokasi yang paling sesuai untuk sebuah perpustakaan awam adalah di tengah-tengah komuniti itu sendiri, dengan kemudahan pergi dan balik yang amat mudah. Lokasi perpustakaan harus strategik agar tidak sukar dikunjungi oleh orang ramai tanpa mengira waktu. Perpustakaan yang berada di tengah-tengah kawasan perumahan, di pusat bandar, pekan atau desa, di rumah sakit malahan di kompleks beli-belah akan lebih berjaya daripada sebuah bangunan perpustakaan tersendiri yang dibina jauh tersorok daripada pandangan dan jangkauan umum. Bayangkan satu senario sebuah perpustakaan di salah satu tingkat bangunan pangsapuri. Bukankah perpustakaan ini cukup mudah dikunjungi oleh semua penghuni di situ tanpa mengeluarkan perbelanjaan langsung? Kanak-kanak yang balik dari sekolah akan senang sekali ke situ. Warga emas serta suri rumah pula tiada masalah untuk berjinak-jinak dengan bahan bacaan yang akan membuka minda mereka.
Cuba kita lihat pula apa akan terjadi jika perpustakaan awam disediakan di kompleks beli-belah di pusat bandar atau di tengah pekan. Kalaupun tidak semua, sebilangan besar anak-anak muda yang melepak di situ akan terbawa juga untuk masuk menjengah dan seterusnya berpeluang mengenali maklumat dan keindahan memperoleh ilmu. Para suami yang tidak selesa menemani isteri berbelanja pula dapat singgah merehatkan minda di perpustakaan dan anak-anak didedahkan kepada sifat suka membaca sejak kecil lagi.
Dengan membawa prasarana perpustakaan kepada orang awam di lokasi yang dekat dengan mereka, ramai yang akan tertarik untuk mengunjunginya. Lama-kelamaan sifat suka membaca akan tersemai dan sudah tentu matlamat sebuah perpustakaan akan tercapai sekali gus membawa rakyat menuju ke tahap literasi yang lebih tinggi. Jika perpustakaan dibina jauh daripada orang ramai, nun di hujung bandar atau di lot tanah paling hujung di sesuatu kawasan pembangunan, perpustakaan ini akan gagal kerana segelintir sahaja yang akan mengunjunginya. Perpustakaan awam yang terletak di antara bangunan pejabat pula akan sunyi sepi kerana kakitangan jabatan kerajaan atau swasta tidak akan mengunjunginya pada waktu bekerja. Waktu rehat pula, ramai yang akan meluru ke tempat makan untuk mengisi perut setelah beberapa jam bertugas.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Kepentingan Lokasi Perpustakaan Awam” oleh Rosni Haron dalam Utusan Malaysia, 23 April 2007)









PEMAHAMAN
Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata sunyi sepi ?
[2 markah]
(ii) Menurut pengarang, mengapakah perpustakaan awam tidak sesuai dibina di antara bangunan pejabat?
[4 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar?
[4 markah]

Khamis, 19 November 2009

SIMPULAN BAHASA

A
Ada angin : berperangai tidak menentu
Ada hati : ada kemahuan/keinginan
Ada-ada saja : asyik ada sahaja perkara yang ingin dilakukan/dikatakan
Ajak-ajak ayam : mempelawa secara tidak bersungguh-sungguh.
Alang kepalang : meneruskan sesuatu hingga ke akhirnya
Anak emas : anak yang terlalu dikasihi oleh ibu bapa atau ibu bapa atau pekerja yang disayangi oleh majikannya
Alas perut : makan sedikit
Angkat bakul : memuji diri sendiri
Air muka : wajah/maruah
Abu Jahal : orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan
B
Banyak lemak : terlalu manja
Batu api : orang yang suka menghasut seseorang
Berat hati : sukar untuk melakukan sesuatu yang tidak disukai
Berbelah bagi : sukar untuk membuat sesuatu keputusan
Bulat kata : kata sepakat
Buruk siku : meminta kembali sesuatu yang telah diberikan
Batu loncatan : sesuatu yang dijadikan permulaan untuk mencapai sesuatu hajat yang lebih besar
Bidan terjun : orang yang diminta melakukan sesuatu pekerjaan secara mendadak
Bau-bau bacang : persaudaraan yang jauh
Bermuka dua : tidak jujur/belot
C
Cahaya mata : anak
Cangkul angin : melakukan sesuatu yang sia-sia
Campur tangan : mencampuri urusan orang lain
Cepat tangan : orang yang suka mencuri
Cahaya hidup : panduan hidup
Cari jalan : berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara
Curi tulang : tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh
Cakar ayam : tulisan yang buruk
Cabut nyawa : membunuh
Cakap besar : meninggi diri
D
Dalam tangan : sesuatu yang pasti dimiliki
Darah daging : saudara kandung
Durian runtuh : mendapat laba (keuntungan) secara tiba-tiba
Daya fikir : kekuatan berfikir
Darah muda : semangat/perasaan orang muda
Darah panas : lekas menjadi marah
Dapat terpijak : mendapat sesuatu dengan mudah/tidak disangka-sngka
Daki dunia : harta dunia
Dunia terbalik : keadaan yang berlawanan dengan keadaan sebenar
Darah gemuruh : mudah gugup dan cemas
E
Ekor kuda : fesyen rambut yang didandan seperti ekor kuda
Emak angkat : perempuan yang dianggap seperti ibu sendiri
Emak bidan : gelaran bagi perempuan yang terlibat dalam kerja perbidanan
Emas kahwin : belanja kahwin yang diberi oleh bakal suami kepada bakal isteri
Embun jantan : titisan embun besar-besar
Enau mencari sigai : perempuan yang mencari lelaki
Enau di hutan : mementingkan diri sendiri
Emas sebungkal : sesuatu yang berharga

G
Gatal mulut : suka bercerita tentang keburukan orang lain
Gaji buta : mendapat gaji tanpa perlu bekerja bersungguh-sungguh
Gila-gila bahasa : kurang sihat/tak panjang fikiran
Gila bola : suka bermain atau menonton permainan bola sepak
Gelap hati : sukar memahami pelajaran
Gelap mata : tidak dapat berfikir lagi kerana terlalu marah/pitam
Gila bayang : cinta kepada seseorang yang tidak tahu dia dicintai
Gulung tikar : muflis

H

Halwa telinga : bunyi-bunyian/nyanyian untuk hiburan
Hancur hati : sangat sedih
Harga mati : harga tetap
Harga diri : maruah
Hentam kromo : melakukan sesuatu dengan senang hati
Hidung tinggi : orang yang sombong
Hilang akal : kurang siuman
Hati batu : degil
Hisap darah : memeras/menindas orang
Hitam manis : warna kulit yang hitam kemerah-merahan

I

Isi hati : perasaan dalam hati
Iri hati : cemburu/dengki
Ikat perut : menahan lapar kerana kemiskinan
Isi perut : sesuatu yang terfikir dalam hati
Isi rumah : penghuni dalam sesebuah rumah
Ibu ayam : perempuan yang memperdagangkan perempuan lain
Intan terpilih : orang kesayangan seseorang

J

Jalan mati : penghujung jalan
Jalan buntu : sesuatu yang tiada poenyelesaian
Jauh hati : merajuk/tersinggung
Jiwa besar : bercita-cita tinggi
Jantung hati : orang yang disayangi
Jatuh hati : tertarik/menaruh harapan
Jinak-jinak merpati : perempuan yang kelihatan ramah, tetapi apabila didekati,menjauhkan diri
Juling air : juling sedikit

K

Kaki bangku : tidak pandai bermain bola
Kaki minum : suka minum arak
Kacang hantu : orang jahat
Keras kepala : degil
Kutu embun : orang yang suka merayau pada waktu malam
Kaki ayam : orang yang tidak memakai kasut
Kaki botol : orang yang suka minum arak
Kepala angin : orang yang mudah berubah perangainya
Kerang busuk : tersengih-sengih tanpa sebab
Kecil hati : berasa tersinggung

L

Langkah kanan : bernasib baik
Langkah seribu : cabut lari
Lintah darat : orang yang mengenakan bunga yang tinggi atas pinjaman yang diberikan
Lipas kudung : pantas membuat kerja
Lidah biawak : bercakap dolak-dalik
Lidah bercabang: suka bercakap bohong
Lepas tangan : tidak bertanggungjawab atau sesuatu yang telah dilakukan
Langkah kiri : malang
Langkah bedul : adik berkahwin terlebih dahulu daripada kakaknya

M

Makan hati : berasa sedih yang teramat sangat hingga merosakkan diri sendiri
Mata duitan : mementingkan wng sahaja
Mabuk asmara : hilang akal/seperti gila kerana jatuh cinta
Makan angin : berehat/bersiar-siar
Makan diri : terkena diri sendiri
Mandi kerbau : mandi yang tidak bersih
Mulut murai : orang yang bercakap banyak

N

Naik hantu : mengamuk
Naik darah : terlalu marah
Nyawa-nyawa ikan: hampir-hampir mati
Naik angin : marah
Naik minyak : menjadi marah
Nikah gantung : sudah bernikah tetapi belum tinggal serumah

O

Otak cair : pandai
Otak udang : bodoh
Orang atasan : orang yang berpangkat rendah
Orang rumah : isteri
Otak pandir : orang yang bodoh dan tolol
Orang gaji : pembantu rumah
Orang harapan : orang yang dipertanggungjawabkan dengan segala tugas
Otak minyak : pandai
Otak kering : orang yang kurang waras pemikirannya

P

Panas hati : sangat marah
Panjang tangan : suka mencuri
Patah hati : kecewa
Pekak badak : pura-pura tidak mendengar/sengaja tidak mahu mendengar
Pecah tembelang : terbuka rahsia
Pasang telinga : mengintip/mencuri dengar
Puteri lilin : orang yang tidak tahan panas
Putih tulang : sanggup mati daripada mendapat malu
Penyapu baru : orang yang rajin kerana baru bekerja



Rabun ayam : tidak dapat melihat dengan jelas pada waktu malam
Ringan tangan : rajin menolong
Ringan mulut : peramah
Rambang mata : sukar membuat pilihan
Raja sehari : pengantin
Rendah hati : perasaan serba kekurangan
Ringan tulang : suka menolong
Rendah diri : tidak angkuh/tidak sombong

S

Sampai hati : tergamak melakukan sesuatu
Senyum kambing: senyum mengejek
Serkap jarang : menuduh sebarangan
Simpul mati : ikatan yang sukar disimpulkan
Sakit mata : benci memandang
Sakit telinga : benci mendengar
Sejuk hati : tidak risau, lega dan tenang
Setengah masak : belum cukup matang atau sempurna
Salah langkah : silap perhitungan
Sebatang kara : tidak mempunyai sanak saudara dalam hidup

T

Tajam akal : pandai/pintar
Telinga nipis : cepat marah
Terang hati : mudah menerima sesuatu ilmu
Titik peluh : hasil usaha sendiri
Tulang belakang : orang kuat dalam sesebuah pasukan/pejabat
Tin kosong : orang yang banyak bercakap tetapi tidak berilmu
Tangkai jering : sangat kedekut
Tajam hati : cerdas/pintar
Tangan terbuka : suka menolong orang/murah hati
Tidur-tidur ayam: tidur yang tidak lena

U

Upah seraya : memberikan upah sekadarnya sahaja
Untung batu : nasib yang buruk
Untung sabut : nasib yang baik
Ukur jalan : merayau-rayau tidak tentu hala
Ulat bulu : seseorang yang gatal dan suka mengusik perempuan
Ubun-ubun lembut: masih kanak-kanak dan tidak ada pengalaman
Ular kena palu : keadaan yang bengkang-bengkok

Sabtu, 14 November 2009

COGAN KATA SMK TUN MAMAT



"BELAJAR UNTUK BERKHIDMAT"
Lingkaran pita kuning bertulis motto ‘BELAJAR UNTUK BERKHIDMAT’ bermaksud tapak bagi mendokong cita-cita sekolah ke arah mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara.

Gelang bertulis nama sekolah bermaksud sekolah ini merupakan sebuah institusi pendidikan yang unggul dan cemerlang.

Buku melambangkan sumber ilmu yang perlu diterokai oleh setiap pelajar untuk mencapai kejayaan yang dilambangkan oleh topi ijazah berwarna hitam.

Warna-warna pada buku melambangkan empat rumah pasukan:
BIRU : MAHAMERU
KUNING : TITIWANGSA
HIJAU : MAHLIGAI
MERAH : KINABALU
JINGGA : LEDANG
UNGU : TAHAN


LAGU SEKOLAH
Berjuang terus maju
Wahai putra dan putri
Lurah sama diturun
Gunung sama didaki
Membentuk jiwa murni
Dan luhurnya budi
Berjuang menghirup ilmu
Membela harga diri

Sekolah Menengah Tun Mamat
Belajar untuk berkhidmat
Bergema seruan umat
Dengan penuh semangat
Abadi kasih kita
Pada sekolah nan tercinta
Kan harum namanya
Di mana jua kita berada
Putra dan putri tetap
Menyahut seruan Negara
Untuk hidup berbakti
Pada nusa dan bangsa

Ahad, 8 November 2009

TEMA DAN PERSOALAN NOVEL TRAGEDI EMPAT DISEMBER

TEMA

Keberanian, kecekalan, dan ketabahan seorang remaja menghadapi pelbagai cabaran.

PERSOALAN

  1. Ketabahan dan kecekalan hati terutamanya apabila menghadapi tragedi yang tidak diduga. Contoh: Kamarul Azam dan Razi telah ditawan oleh penjahat dan mereka tabah melepaskan diri daripada penjahat tersebut.
  2. Bersimpati terhadap orang yang ditimpa kecelakaan. Contoh: bantuan yang diberikan oleh keluarga Pak Widodo kepada Azam dan Razi.
  3. Sikap bekerjasama dan tolong-menolong . Contoh: kerjasama antara rakan-rakan Kamarul Azam seperti Razi, Rendera, Lina Lim dan Zanawati semasa menyertai perkhemahan.
  4. Perpaduan kaum. Contoh: Azam dan rakan-rakannya yang terdiri daripada kaum Cina dan India mempunyai semangat perpaduan dan dapat menjalankan aktiviti persatuan dengan sempurna.
  5. Kasih sayang sesama rakan dan ahli keluarga. Contoh: Keluarga Pak Widodo memperlihat kasih sayang terhadap Azam dan Razi.
  6. Tanggungjawab terhadap masyarakat yang diberikan kepada mereka yang bernasib malang. Contoh: Syarikat Penerbangan Sistem Angkasa Malaysia menguruskan mangsa-mangsa kemalangan pesawat Boeing 737 HM 356.
  7. Kezaliman manusia yang telah mengorbankan nyawa orang yang tidak berdosa dan membahayakan nyawa orang lain. Contoh: Perampas-perampas pesawat Boeing 737 HM 356 dianggap zalim kerana tindakan mereka telah mengorbankan seratus nyawa.

Sabtu, 7 November 2009

NOVEL " TRAGEDI EMPAT DISEMBER"


SINOPSIS

Novel ini mengisahkan tragedi yang berlaku dalam keluarga Kamarul Azam. Kamarul Azam meminta kebenaran daripada ayahnya, iaitu Encik Razali dan ibunya Puan Katijah untuk mengadakan perkhemahan bersama-sama dengan beberapa orang Pengakap dan Pandu Puteri kanan sekolah untuk mengambil Ujian Kelas Pertama. Kebetulan pada hari itu Encik Razali perlu mengiringi Menteri Pertanian sebagai Wartawan Kehormat dalam rangka lawatan ke negeri-negeri utara Semenanjung. Malangnya, suatu kejadian yang tidak diduga berlaku, iaitu kapal terbang yang dinaiki oleh Encik Razali yang berlepas dari Lapangan Terbang Bayan Lepas telah dirampas penjenayah. Kapal terbang jenis Boeing 737 HM 356 membawa seramai 93 orang penumpang bersama dengan tujuh orang kakitangan.

Semasa aktiviti perkhemahan, Kamarul Azam dapat melihat kapal terbang itu meletup di udara tetapi tidak menyangka bahawa ayahnya turut berada di dalam kapal terbang tersebut. Kejadian tersebut berlaku di kawasan Tanjung Pangku, Johor. Azam dan Razi yang cuba pergi ke tempat kejadian itu telah diculik oleh beberapa orang lelaki bersenjata yang dipercayai bersubahat dengan rampasan tersebut. Mereka membawa Azam dan Razi ke tengah laut. Kemudiannya, mereka meninggalkan Azam dan Razi selepas melepaskan dua das tembakan pada lantai motobot.

Motobot yang dinaiki oleh Azam dan Razi dipenuhi air dan terbalik di tengah laut. Azam dan Razi bernasib baik kerana mereka diselamatkan oleh Pak Widodo Samsi, iaitu nelayan dari Pulau Rangsang, Sumatera Timur. Dengan bantuan Antik, iaitu anak lelaki Pak Widodo, Azam berjaya pulang ke Johor. Azam berkesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah arwah ayahnya. Pihak polis telah menjumpai catatan tentang rampasan itu yang mungkin ditulis oleh Encik Razali. Kerjasama antara Polis Malaysia dengan Polis Indonesia membolehkan Antik pulang semula ke Indonesia. Azam berharap agar penjenayah yang merancang rampasan kapal terbang itu akan segera ditangkap.


PENGENALAN TAJUK KOMPONEN SASTERA TINGKATAN 2

1. Novel " Tragedi Empat Disember"

  • sinopsis
  • tema dan persoalan
  • watak dan perwatakan
  • latar
  • plot
  • gaya bahasa
  • nilai
  • pengajaran

2. Antologi "Seuntai Kata Untuk Dirasa"

PUISI TRADISIONAL

  • Pantun Perpisahan
  • Pantun Joget Pahang
  • Pantun Teka-teki
  • Syair Pesanan Ibu
  • Syair Nur Alam Shah Lela Putera

SAJAK

  • Mata Ayah
  • Seuntai Kata Untuk Dirasa
  • Bicara Buat Guru
  • Pesan Tangan Kepada Jari
  • Cinta
  • Ruang

PROSA TRADISIONAL

  • Pak Kaduk
  • Putera Besar Lahir ke Dunia
  • Puteri Buluh Betung
  • Cerita Kera dengan Buaya

CERPEN

  • Tina
  • Batu
  • Buku Catatan Farid Badrul
  • Mama
  • Erti Kasih Makna Sayang
  • Tangan Kanan, Kiri atau Kedua-duanya

DRAMA

  • Penunggu Pusaka
  • Angin
  • Buyung

VISI SMK TUN MAMAT
Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang
MISI SMK TUN MAMAT
"Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti"
MATLAMAT SMK TUN MAMAT
"SMK Tun Mamat gemilang 2010"

Jumaat, 6 November 2009

SEKADAR UNTUK RENUNGAN

"Pelajaran terbaik di dunia ialah pelajaran yang diterima menerusi keperitannya untuk meneruskan kehidupan."

"Usah risau sekiranya tiada sesiapa yang mengenali diri anda, carilah jalan agar diri anda mampu menjadi seseorang yang bernilai untuk dikenali."

"Hanya mereka yang telah belajar secara mendalam akan berada dalam kedudukan untuk mengakui bahawa betapa sedikitnya yang mereka tahu."

PESANAN UNTUK PELAJAR

Wahai pelajar-pelajar yang cikgu sayangi...dalam usia kamu yang masih terlalu mentah, kamu sepatutnya mempunyai minat yang mendalam dalam pelajaran. Kamu harus memikirkan masa depan kamu yang masih jauh, yang masih belum diketahui ke mana akhirnya. Walaupun cikgu sering marah-marah, tetapi semua itu kerana cikgu terlalu sayangkan kamu dan cikgu tidak mahu kamu hanyut dalam menongkah arus kehidupan remaja kamu. Cuba fikirkan ibu dan ayah kamu yang bersusah payah membesarkan, mendidik dan memberikan kasih sayang yang cukup sempurna kepada kamu. Adakah kamu sanggup melihat mereka menanggung kekecewaan??Oleh itu, cikgu amat berharap semoga kamu menjadi manusia yang berguna suatu hari nanti.