Rabu, 25 November 2009

RINGKASAN DAN PEMAHAMAN


Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab lokasi perpustakaan perlu strategik . Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Lokasi yang paling sesuai untuk sebuah perpustakaan awam adalah di tengah-tengah komuniti itu sendiri, dengan kemudahan pergi dan balik yang amat mudah. Lokasi perpustakaan harus strategik agar tidak sukar dikunjungi oleh orang ramai tanpa mengira waktu. Perpustakaan yang berada di tengah-tengah kawasan perumahan, di pusat bandar, pekan atau desa, di rumah sakit malahan di kompleks beli-belah akan lebih berjaya daripada sebuah bangunan perpustakaan tersendiri yang dibina jauh tersorok daripada pandangan dan jangkauan umum. Bayangkan satu senario sebuah perpustakaan di salah satu tingkat bangunan pangsapuri. Bukankah perpustakaan ini cukup mudah dikunjungi oleh semua penghuni di situ tanpa mengeluarkan perbelanjaan langsung? Kanak-kanak yang balik dari sekolah akan senang sekali ke situ. Warga emas serta suri rumah pula tiada masalah untuk berjinak-jinak dengan bahan bacaan yang akan membuka minda mereka.
Cuba kita lihat pula apa akan terjadi jika perpustakaan awam disediakan di kompleks beli-belah di pusat bandar atau di tengah pekan. Kalaupun tidak semua, sebilangan besar anak-anak muda yang melepak di situ akan terbawa juga untuk masuk menjengah dan seterusnya berpeluang mengenali maklumat dan keindahan memperoleh ilmu. Para suami yang tidak selesa menemani isteri berbelanja pula dapat singgah merehatkan minda di perpustakaan dan anak-anak didedahkan kepada sifat suka membaca sejak kecil lagi.
Dengan membawa prasarana perpustakaan kepada orang awam di lokasi yang dekat dengan mereka, ramai yang akan tertarik untuk mengunjunginya. Lama-kelamaan sifat suka membaca akan tersemai dan sudah tentu matlamat sebuah perpustakaan akan tercapai sekali gus membawa rakyat menuju ke tahap literasi yang lebih tinggi. Jika perpustakaan dibina jauh daripada orang ramai, nun di hujung bandar atau di lot tanah paling hujung di sesuatu kawasan pembangunan, perpustakaan ini akan gagal kerana segelintir sahaja yang akan mengunjunginya. Perpustakaan awam yang terletak di antara bangunan pejabat pula akan sunyi sepi kerana kakitangan jabatan kerajaan atau swasta tidak akan mengunjunginya pada waktu bekerja. Waktu rehat pula, ramai yang akan meluru ke tempat makan untuk mengisi perut setelah beberapa jam bertugas.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Kepentingan Lokasi Perpustakaan Awam” oleh Rosni Haron dalam Utusan Malaysia, 23 April 2007)









PEMAHAMAN
Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata sunyi sepi ?
[2 markah]
(ii) Menurut pengarang, mengapakah perpustakaan awam tidak sesuai dibina di antara bangunan pejabat?
[4 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar?
[4 markah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan