Jumaat, 25 Disember 2009

PERUMPAMAAN

B
Bagai aur dengan tebing : saling membantu antara satu dengan yang lain
Bagai duri dalam daging : sesuatu hal yang tidak menyenangkan hati
Bagai melepaskan batuk di tangga : membuat kerja secara sambil lewa sahaja
Bagai layang-layang terputus talinya : hidup tanpa arah tuju
Bagai abu di atas tunggul : sesuatu keadaan yang tidak tetap
Bagai anjing buruk kepala : orang yang sangat dibenci oleh masyarakat
Bagai ayam mengeram telur : muka menjadi merah
Bagai ayam disambar helang : orang yang hilang dengan tiba-tiba
Bagai lebah menghimpun madu : sangat rajin

L
Laksana burung diam dalam sangkar : orang yang hidupnya terikat
Laksana katak diharung ular : lari bertempiaran dengan riuh-rendah kerana ketakutan
Laksana kulit udang terbakar : kulit yang berkeadaan merah
Laksana wau melawan angin : kehendak orang besar/orang yang berkuasa tidak dapat dihalang oleh orang yang lemah
Laksana pohon kayu tidak berbuah : ilmu yang tidak diamalkan
Laksana garam dan asam : kalau sudah ada jodoh akan bertemu juga walaupun jauh


S
Seperti anjing dengan kucing : sering bertengkar
Seperti ayam berak kapur : rupa pucat kerana sakit atau ketakutan
Seperti embun di hujung daun : kasih sayang yang sementara sahaja
Seperti gunting dalam lipatan : musuh secara sembunyi-sembunyi
Seperti anjing bercawat ekor : orang yang tidak mahu mengikut perubahan semasa, padahal keadaan sekelilingnya telah berubah
Seperti batu jatuh ke lubuk : hilang lenyap
Seperti bulan dipagari bintang : seorang gadis cantik dikelilingi oleh gadis-gadis cantik yang lain akan kelihatan lebih cantik lagi gadis itu
Seperti burung gagak pulang ke benua : orang yang pulang dari rantau tetapi perangainya seperti dahulu juga
Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing : orang yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan hal orang lain
Seperti gergaji dua mata : orang yang menjdi orang tengah/pesuruh kepada dua pihak, akhirnya mendapat keuntungan daripada kedua-dua pihak

U
Umpama kiambang di air, akarnya tidak jejak di bumi : kedudukan tidak tetap
Umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga : orang yang baik akan dipandang mulia di mana-mana jua
Umpama lebah, mulut membawa madu, buntut membawa sengat : perempuan yang elok rupanya tetapi berperangai jahat
Umpama durian dengan mentimun, menggolek binasa, kena golek pun binasa : orang yang lemah tidak berdaya menentang orang yang berkuasa dan menerima kerugian
Umpama pisau di tangan kanan, mentimun di tangan kiri : orang yang mempunyai kuasa dan harta kekayaan serta bebas melakukan sesuatu mengikut kehendak hatinya
Umpama hendak menepung tiada berberas : pekerjaan yang dibuat dengan tidak cukup syarat, sukar menjadi sempurna
Umpama jari di tangan, ada bercincin, ada tidak : hukuman yang tidak adil
Umpama burung di dalam sangkar, mata terlepas, badan terkurung : walaupun dipelihara dengan baik tetapi tidak mempunyai kebebasan
Umpama pucuk dan umbut, tiada lauk baru dibaham : sesuatu yang kurang berguna akan dipakai juga apabila yang lain tiada lagi

KATA GANTI NAMA DIRI TANYA

Kata Ganti Nama Diri Tanya

1. Kata ganti nama diri tanya ialah perkataan yang merujuk kepada benda atau orang dalam bentuk tanya.
Contoh:
• Apa merujuk kepada benda atau perkara.
• Siapa merujuk kepada orang.
• Mana merujuk kepada benda atau orang.
2. Partikel –kah hanya digunakan apabila kata ganti nama diri tanya digunakan di hadapan ayat.
Contoh:
• Apakah nama bangunan yang tertinggi di dunia? [betul]
• Nama bangunan yang tertinggi di dunia apakah? [salah]
3. Kata ganti nama diri tanya yang digandakan akan bertukar menjadi kata ganti tak tentu.
4. Contoh kesalahan dalam ayat:
• Dia tidak membawa apa kelengkapan memasak untuk perkhemahan kerana terlupa. [salah]
• Dia tidak membawa apa-apa kelengkapan memasak untuk perkhemahan kerana terlupa. [betul]

SOALAN LATIHAN

A. Soalan Subjektif
Garisi kata ganti nama diri tanya yang betul.

1. (Apakah / Siapakah ) yang menjadi ketua pengawas sekolah tahun ini?
2. Perkara yang dibincangkan itu ( mana / apa )?
3. Nama pelajar yang baru datang itu ( siapa / apa )?
4. “Rombongan yang datang itu dengan ( siapa / apa )?”tanya Izzat kepada pemuda itu.
5. “( Apakah / Siapakah ) yang datang bersama-sama kamu semalam?”tanya ibu kepada Rahman.

B. Soalan Berformat Peperiksaan
Lengkapkan ayat-ayat berikut dengan memilih jawapan yang paling sesuai.

1. “Orang yang berada di dalam bilik itu __________?”tanya Amin kepada Ainun.

A. apa
B. siapa
C. apa-apa
D. siapa-siapa


2. ____________ yang dibaca oleh Husna ketika berada di dalam kelas itu?

A. Apa
B. Apakah
C. Manakah
D. Siapakah


3. “Ada ____________ yang tidak bersetuju dengan cadangan ayah?” tanya ayah kepada anak-anaknya.

A. apa
B. siapa
C. sesiapa
D. mana-mana


4. “Dalam kalangan kamu, _____________kah yang ingin menyertai perkhemahan ini?” tanya guru penasihat kepada pelajarnya.

A. mana
B. siapa
C. siapa-siapa
D. mana-mana


5. “Awak hendak lekatkan lukisan itu pada ___________?”tanya ibu.

A. apa
B. siapa
C. mana
D. sesiapa

KATA NAMA AM DAN KATA NAMA KHAS

Kata Nama Am dan Kata Nama Khas
1. Perkataan yang biasanya menamakan orang atau benda.
2. Perkataan yang menjadi inti pada binaan frasa nama.
3. Jenis kata nama:
a) Kata Nama Am
i. benda/perkara yang umum sifatnya
ii. ejaannya berpangkal huruf kecil (kecuali memulakan ayat)
iii. dapat digandingkan dengan kata bilangan ataupun penjodoh bilangan.
Contoh:
• Beberapa orang guru perempuan telah terlibat dalam perkhemahan itu.
• Pelajar itu mengambil sebuah kerusi lalu duduk di barisan hadapan sekali.
iv. kumpulan kata nama:
• abstrak – mimpi, angan-angan, dan cita-cita
• benda – kerusi, meja, dan pen
• manusia – orang, guru, dan polis
• binatang – kancil, lembu, dan angsa
b) Kata Nama Khas
i. nama yang khusus
ii. ejaannya berpangkal huruf besar
iii. kumpulan kata nama:
• manusia – Ahmad, Mahmud, dan Ah Seng
• tempat – Kuala Lumpur, Ipoh, dan Kangar
• binatang – Si Tompok, Si Belang, dan Si Comel
• tajuk – Ibu Mertuaku dan Aku Anak Timur
4. Kata nama berbeza apabila digunakan di tempat yang berbeza.
Contoh:
Kata Nama Am:
• Pengarah ( jenis pekerjaan secara am)
Kata Nama Khas:
• Pengarah Syarikat Tenaga Maju. ( jawatan khas di syarikat tersebut)

Soalan Latihan

A. Soalan Subjektif

Kenal pasti perkataan kata nama khas, kemudian betulkan perkataan tersebut.

1. Guru mata pelajaran bahasa inggeris telah mengajar pelajarnya dalam bahasa melayu ketika pengetua melalui kelas tingkatan tiga mutiara.
___________________________________________________________________________

___________________________________________________________________________

2. Pada pagi sabtu yang lalu, saya sempat berbincang dengan encik murad. Kami berbincang tentang novel yang berjudul julia.
____________________________________________________________________________

___________________________________________________________________________

3. Semasa pentadbiran tun abdullah ahmad badawi, beliau telah memperkenalkan slogan “cemerlang, gemilang, dan terbilang”. Era pentadbiran datuk seri n ajib tun abdul razak pula memperkenalkan 1 malaysia.
___________________________________________________________________________

___________________________________________________________________________

4. Sehingga kini, hanya dua orang pesakit yang didapati positif influenza a atau h1n1. Sehubungan dengan itu, rakyat malaysia diharap tidak panik.
___________________________________________________________________________

___________________________________________________________________________

5. Antara unit pakaian seragam ialah persatuan bulan sabit merah, pasukan kadet polis, dan pasukan kadet bomba.
___________________________________________________________________________

____________________________________________________________________________

B. Soalan Berformat Peperiksaan

Lengkapkan ayat-ayat yang berikut dengan memilih jawapan yang paling sesuai.

1. ______________________ yang berpengalaman itu telah berjaya menerbangkan jet pejuang buatan Rusia.

A. Pemandu
B. Jurupandu
C. Juruterbang
D. Angkasawan


2. Najmi membantu ayahnya menyiapkan tempahan ____________________ sempena Pesta Seni Kraf.

A. bakul keranjang
B. bakul anyaman
C. bakul sampah
D. bakul sayur


3. Bangunan yang indah itu telah direka oleh ___________________ tempatan.

A. jurumekap
B. jurutera
C. jurubina
D. juruhias


4. ______________________ yang baharu dipasang pada bumbung rumah itu telah patah ditimpa pokok.

A. Sesiku
B. Kekuda
C. Kekabu
D. Lelangit


5. Majlis yang gilang-gemilang itu telah dipengerusikan oleh ________________ yang berpengalaman.

A. juruacara
B. pemidato
C. jurucakap
D. pensyarah

Selasa, 8 Disember 2009

PUDING PANCAWARNA



BAHAN-BAHAN:
25 gram agar-agar
1 tin susu cair
300 gm gula
3 sudu besar tepung jagung
4 biji telur
1 sudu besar esen ros
Pewarna hijau, merah, kuning

CARA-CARA MEMBUATNYA:
1. Masak agar-agar hingga hancur.
2. Masukkan gula, biar hingga mendidih.
3. Pukul telur dengan susu cair dan tepung jagung. Kemudian, masukkan esen ros.
4. Masukkan adunan telur dalam adunan agar-agar. Kacau hingga agar-agar tadi pekat.
5. Angkat dan bahagikan 3 bahagian. Lapiskan tiap-tiap warna hingga habis, sejukkan.

CIRI-CIRI DAN POTENSI GURU BERKESAN

Ciri-Ciri Dan Potensi Diri
Guru Berkesan Dalam Merealisasikan
Pendidikan Cemerlang


"If they aren't learning...then you aren't teaching."
~ Anon

Pendahuluan

Antara persoalan yang sering timbul di benak kita ialah mengapakah berlaku prestasi sebuah sekolah itu lebih baik daripada sebuah sekolah yang lain? Apakah pula faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya senario demikian? Atau adakah perbezaan yang wujud itu disebabkan 'nasib' semata atau kurangnya usaha-usaha melakukan perubahan dan penambahbaikan yang berterusan (Kaizen) kerana tidak wujudnya misi (mission), visi (vision), komitmen (committment) atau contoh ikutan (role model), sama ada dari aspek diri individu atau pihak pengurusan sekolah yang boleh mencetuskan inspirasi dan halatuju (direction) yang jelas, betul dan tepat.

Ramai orang inginkan kemajuan, peningkatan, kecemerlangan dan kegemilangan seterusnya apa yang kita namakan sebagai kejayaan. Kejayaan pula berlaku dalam banyak bentuk sama ada kejayaan peribadi, kejayaan organisasi atau pun kejayaan kelompok dan komuniti.

Phillip Van Hooser (1998) mendapati bahawa ada tiga unsur penting dalam menentukan kejayaan. Tiga unsur ini berkait rapat antara satu sama lain dan ianya digelar sebagai "Triangle of Success" (yang merangkumi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap).

Ilmu Pengetahuan: Apakah pengetahuan? Adakah pengetahuan sahaja sudah cukup? Phillip Van Hooser menyatakan bahawa pengetahuan bukan dimanifestasikan oleh sijil dan diploma, ia juga bukan satu ukuran yang tepat berdasarkan angka gred mata purata atau dengan kekananan dan kelamaan seseorang itu berada di tempat kerja. Pengetahuan sebenar ialah kefahaman (understanding). Dalam kepimpinan, kefahaman terhadap apa yang diperlukan dan dijangkakan oleh pengikut-pengikut daripada pemimpin merupakan pengetahuan kerja yang praktikal.

Kemahiran: Pengetahuan dan kemahiran sama-sama penting. Kedua-duanya sangat diperlukan bagi pembangunan kepemimpinan personal. Ringkasnya, kemahiran sama erti dengan aplikasi (application). Kebolehan mengaplikasi sesuatu konsep atau idea kepada sesetengah 'task' merupakan satu kelebihan kepimpinan yang tidak dapat dipertikaikan. Kemahiran-kemahiran khusus termasuklah keberanian profesionalisme, ketegaran (decisiveness) dan kesabaran serta kemahiran mendengar.

Sikap: Sikap adalah kunci kepada segalanya. Sikap dapat disamakan dengan kehendak (desire). Sesiapa jua boleh memiliki pengetahuan dan kemahiran yan tertentu bagi melaksanakan perkara-perkara besar lagi hebat, tetapi jika tanpa kehendak yang mendorong dan menggerakkan tingkah-laku dan perbuatan maka hasil akhirnya adalah potensi yang tidak dapat direalisasikan. Didapati juga individu-indidvidu yang kurang pengetahuan dan kemahiran tetapi mereka memiliki sikap, kehendak dan dorongan yang cukup kuat dapat mengatasi sebarang halangan yang mereka hadapi dengan jayanya.

Cabaran kita ialah secara sedar membuang perasaan berpuas hati (complacency) dan terlalu yakin (overconfidence) sewaktu kita mengembangkan satu atau lebih unsur-unsur di atas.

Kejayaan dan kecemerlangan sekolah terletak pada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan, iklim, semangat dan budaya yang diamal dan dipamerkan setiap waktu oleh setiap orang pelajar, guru, kakitangan bukan guru dan juga pentadbir dan pengurus kurikulum sesebuah sekolah itu. Pihak yang amat besar kesan dan pengaruhnya terhadap kemajuan dan kecemerlangan ini tidak lain tidak bukan ialah guru-guru sendiri.

Guru Berkesan

Bagaimana dan apakah ciri-ciri yang dimaksudkan dengan seorang guru yang berkesan itu? Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah menyenaraikan ciri-ciri guru berkesan sebagaimana berikut:
· Bersikap profesional.
· Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.
· Kaya ilmu.
· Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja.
· Bermoral teguh.
· Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
· Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
· Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid.
· Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa.
· Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa.
· Mempastikan situasi 'Guru mengajar murid belajar' wujud di dalam kelas.
· Berupaya melahirkan 'persekolahan berwatak' supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh.
· Berupaya membina minda pelajar yang cemerlamg akademik.
· Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri (bermoral, berakhlak mulia, berketrampilanm, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu).
· Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya.
· Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi.
· Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah.
Kenyataannya adakah semua ciri tersebut telah kita miliki? Atau sekurang-kurangnya sebahagian besarnya telah kita amalkan dalam diri peribadi mahu pun dalam organisasi? Tetapi yang nyata masih ramai atau sebahagian besar dari kita amat kurang memiliki ciri-ciri tersebut. Jadi bagaimana kita hendak melahirkan pengajaran dan pembelajaran yan berkesan dan seterusnya sekolah berwatak dan sekaligus pendidikan cemerlang?

Untuk menjadi guru berkesaan kita perlu berubah. Kita perlu menganjak paradigma, kita perlu melakukan lonjakan quantum dengan merobah dan meruntuh tembok penghalang yang pertama dan utama iaitu Menolak Perubahan (Resist Change). Ken Blanchard, pengarang buku "The One Minute Manager" menyatakan bahawa kita lumrahnya liat dan sukar menerima perubahan. Beliau menyatakan bahawa;
· Bila memikirkan perubahan kita sering fikirkan perkara-perkara yang kita kena kepaskan, bukan kepada perkara-perkara yang akan kita dapat .
· Setiap orang mempunyai toleransi yang berbeza terhadap perubahan kendatipun kepada mereka yang memiliki tahap toleransi yang tinggi akan ada satu titik di mana perubahan tidak berupaya ditanggungi.
· Selali pun perubahan telah berlaku kita secara fitrahnya mahu meletakkan perkaarap-perkara kembali kepada keadaan asalnya.
Mengubah Diri Mengubah Sikap

Plato berkat, "Kemenangan yang utama dan pertama ialah menakluki diri." Garfield pula berkata, "Di dunia ini benda-benda tidak berubah, kecuali ada orang yang mengubahnya."

Jelas sekali perubahan tidak terjadi tanpa penggeraknya atau pun penyebabnya, dan perubahan yang paling berat dan paling sukar ialah perubahan diri peribadi. Stephen Covey (1989) daalm bukunya "The Seven Habits of Highly Effective People" menyatakan ada dua tahap proses perubahan yang perlu dilalui bagi mencapai status 'orang-orang yang paling berkesan' iaitu tahap 'memenangi peribadi' dan 'memenangi publik'. Tiga tabiat (habit) yang fundamental bagi seseorang memenangi diri peribadi adalah:
· Jadilah Proaktif (Be Proactive)
· Mulai dengan yang akhir di dalam minda (Begin with the End in Mind)
· Buat dahului perkara pertama (Put First Things First)
Bagi memenangi publik (dalam hubungan interpersoal) tabiat (habit) yang perlu diamalkan adalah:
· Firkikan Menang/Menang (Think Win/Win)
· Fahami dahulu, kemudian minta difahami (Seek first to understand, and then to be understood)
· Sinergi (Synergize)
· Tajamilah mata gergaji (Sharpen the Saw)
Memenangi Peribadi

Dalam hubungan interpersonal kita sentiasa berinteraksi dengan orang-orang di dalam organisasi rasmi kita iaitu sekolah di mana personaliti dan perwatakan memainkan peranan dan pengaruh yang kuat terutama ke atas anak didik kita dan juga rakan sejawatan. Peribadi yang positif dan kuat mudah memberi kesan dan pengaruh serta dapat menjalin hubungan interspersonal yang baik dan harmonis.

Antara rangsanagan (stimulus) dan tindakan (response) terdapat satu raung di mana kita boleh membuat pilihan. Apa jua tindakbalas/tindakan yang diambil bergantung kepada sedar-diri (self-awareness), imaginasi, hati nurani (conscience) dan keazaman-diri (independent will) setiap individu itu. Oleh itu sebelum berlakunya sebarang tindakbalas, setiap orang mempunyai satu ruang untuk membuat pilihan, dan di ruangan 'kebebasan memilih' inilah pula manusia sebenarnya memiliki 'anugerah istimewa' iaitu sedar-diri -- keadaan setiap orang sedar situasi sekeliling dan juga implikasi terhadap tindakbalas yang mungkin diambilnya. Di samping sedar-diri ini manusia juga dianugerahklan imaginasi -- kebolehan menjana sesuatu di dalam minda yang melangkaui realiti semasa. Hati nurani (consceince) pula merupakan kesedaran dalaman (suara hati) terhadap salah dan betul, benar dan palsu, terhadap prinsip-prinsip yang mengawal tingkah-laku serta kesedaran wujudnya harmoni antara pemikiran dan tindakan. Akhir sekali ialah satu anugerah kepada 'kemerdekaan' dan keazaman diri -- satu kebolehan bertindak berdasarkan sedar-diri dan bebas daripada segala bentuk pengaruh.

Ciri kedua memenangi peribadi ialah 'mulai dengan gambaran akhir di dalam minda' yang bererti setiap kita dapat melihat diri di akhir episod hidup kita sama ada kemajuan dalam kerjaya atau kejayaan peribda dan keluarga. Ringkasnya apakah kita mahukan 'husnul khatimah' atau pun 'su'ul khatimah'.

Dan ciri ketiga ialah buat dahulu perkara pertama (Put First Things First) yang maksdunya kita mengamalkan 'pengurusan masa' yang kemas dan sistematik, mengutamaakan prioriti tindakan serta tidak suka menanggguh kerja. Insya Allah setelah tiga unsur penting ini kita kuasai maka tidaklah sukar untuk menjadi seorang yang lebih berkesan baik dalam lelaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru yang cemerlang mahupun sebagai seorang ahli organisasi yan boleh menjadi role model kepada orang-orang lain.

Pendidikan Cemerlang

Aristotle berkata, "We are what we repeatedly do. Excellence, then, is not an act, but a habit." Sesungguhnya kecemerlangan bukan terjadi secara begitu sahaja tanpa faktor-faktor yang menggalak dan merangsang setiap guru dan pelajar berusaha mencapai matlamat dan kepuasan kendiri yang tinggi setelah bekerja keras, berkorban masa dan tenaga yang bukan sedikit.

Oleh itu sekolah dan guru-guru perlu pertamanya melakukan sesuatu bagi menghapuskan atau mengurangkan faktor-faktor dalaman sekolah yang menyekat kemajuan pelajaran pelajarnya. Usaha-usaha memperbaiki kemajuan dan sekaligus kecemerlangan pendidikan di sekolah mestilah berfokuskan pengajaran dan pembelajaran di bilik-bilik darjah. Semua ini perlukan perubahan sikap dan kepercayaan para guru (termasuk pelajar-pelajar).

Hussein Mahmood (1993) dalam bukunya "Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah" berkata;

"Walau bagaimanapun , di peringkat sekolah pada keseluruhannya,
seluruh cara hidup atau cara bekerja - yang dikatakan budaya
sekolah serta sistem-sistem tertentu yang menghalang kejayaan
sekolah perlu dikaji semula dan diperbetulkan segera. Jika tidak,
segala apa juga usaha untuk memajukan sekolah, kemungkinan
matlamat yang sepatutnya dicapai tidak dicapai."

Menurut beliau usaha untuk memajukan sekolah hendaklah berfokuskan;
a. Pencapaian matlamat sekolah, iaitu pelajaran dan pencapaian akademik para pelajar;
b. Penyelesaian punca-punca masalah yang menyebabkan keadaan sekolah demikian;
c. Membentuk atau mewujdukan budaya baru bagi menggantikan budaya yang sedia ada melalui (b) atau memperkukuhkan budaya yang didapati produktif; dan
d. Menggerakkan segala tenaga di sekolah dan di luar sekolah ke arah pencapaian matlamat-matlamat sekolah melalui kepemimpinan pengetua.
Kajian terhadap Program Peningkatan Kurikulum dasn Kemajuan Pendidika (PKKP) Jabatan Pendidikan Pahang, Edisi Kedua (1999); Satu Penilaian dan Cadangan Pembaharuan menyebut faktor-faktor berikut sebagai penghalang kepada peningkatan dan dengan itu mstilah dibasmi dan dielakkan:
· Visi bersama tidak dijelaskan dan tidak dihayati oleh setiap anggota;
· Mesyuarat/perbincangan mengenai strategi yang terlalu kurang;
· Sikap tidak cakna;
· Anggota yang masih tidak mahu berubah dari 'zon selesa';
· Cepat berpuas hati atau puas hati yang melampau;
· Pemimpin organisasi tidak terlibat dan tidak ikut serta untuk membuat perubahan;
· Tiada usaha yang lebih atau tiada pengorbanan;
· Terlalu cepat mengisytiharkan kemenangan;
· Tiada kemenangan jangka pendek yang boleh diraya atau dibanggakan oleh organisasi menyebabkan hilang momentum untuk berubah dan anggota yang kecewa akan memasuki kumpulan yang menolak perubahan.
Menempa Kejayaan

Persekolahan dan pendidikan hari ini bukan sahaja menuntut para guru menyempurnakan tugas dan tanggunjgjawab mereka dalam mempastikan setiap anak didik menguasai tulis baca dan mengira, malah menguasai pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baru. Oleh itu tugas dan tanggungjawab serta komitmen guru juga haruslah bertambah dan meningkat dari sebelumnya dan ini sudah tentu memerlukan satu sikap baru dan 'pandangan baru' dalam menempa kecemerlangan pendidikan secara keseluruhannya.

Untuk mencapai matlamat ini guru-guru mestilah mempunyai kesedaran diri yang tinggi bahawa apa jua faktor yang memghalang hendaklah dibanteras di samping membuat perubahan pendekatan, strategi dan teknik serta secara berfikir yang positif.

Salah satu aspek penting menempa kejayaan ialah pendekatan positif terhadap disiplin dalam hubungan meningkatkan mutu kerja, mutu pengajaran dan pembelajaran, dan akhirnya mutu output iaitu pencapaian anak didik di dalam penilaian dan peperiksaan.

Blaine Lee dalam bukunya The Power Principle (1989) menyebut bahawa "The positive approach to discipline focuses 20% on what went wrong, and 80% on what could be different next time."

Yang demikian kita seharusnya menumpukan lebih perhatian dan tenaga kepada aspek "next time" ini dan sekaligus menghapuskan segala amalan, tabiat dan tingkah-laku negatif yang merugikan semua orang. Satu daripada pendekatan dan konsep yang boleh diamalkan ialah Shewhart Cycle atau lebih dikenali sebagai PDCA (yakni Plan - Do - Check - Act).

Plan (Rancang) : Semua aktiviti (sekolah, kelas, kokurikulum, zon dan daerah) mestilah dirancang dengan rapi. Elakkan sekali-kali mentaliti ad-hoc, buat sesuatu secara tangkap muat, atau ikut sahaja kerana ramai orang lain buat begitu.

Do (Buat) : Semua yang telah dirancang mesti dilaksanakan sepenuhnya. Inilah aspek paling penting dan kritikal kerana pada peringkat inilah yang menentukan kejayaan setiap perancangan itu. Apa makna dan apa gunanya jika perancangan tinggal pernacangan sahaja? Soal balik diri sendiri apakah perancangan yang kita buat telah semuanya dilaksanakan? Lihat kembali Folio B dalam Program PKKP selama ini sudahkah dibuat sebagaimana dirancang? Jujurlah kepada diri sendiri, dan jika belum, nah inilah puncanya mengapa kita begitu sukar mengatasi kelemahan dan kemerosotan.

Check (Semak) : Semakan amat penting kerana setiap perancangan dan pelaksanaan perlukan; penilaian bagi melihat keberkesanannya atau pun sebab-sebab mengapa ianya tidak mencapai objektif yang ditentukan. Banyak kerja guru-guru kita perlu disemak dengan teliti dan rapi seperti buku latihan murid diperiksa atau tidak, pembetulan dibuat atau tidak, diagnosis mata pelajaran dibuat atau tidak dan jika dibuat tindakan susulan dibuat atau tidak, keputusan mesyuarat guru atau mesyuarat panitia mata pelajaran dibuat atau tidak, pencerapan pengajaran guru dalam bilik darjah dibuat atau tidak; atau laporan-laporan berkala yang diminta oleh JPNP dan PPD dibuat atau tidak, dan dihantar mengikut masanya atau tidak? Satu cara berkesan memastikan sistem semakan yang praktikal ialah dengan mewujudkan satu Senarai Semak Komprehensif yang melibatkan semua perancangan aktiviti di sekolah.

Act (Bertindak) : Setelah semakan dibuat dan jawapannya diketahui sama ada ianya positif atau sebaliknya, tindakan yang amat penting seterusnya ialah mengambil tindakan. Cari puncanya, cari mana silapnya dan cari siapa culpritnya (afritnya). Adakah puncanya kerana sikap manusia atau sistem dan prosedur atau tidak jelas bidang tugas? Tindakan seterusnya memastikan tidak berulang lagi perkara-perkara tidak memuaskan ini dan personnel yang terlibat mestilah disedarkan melalui nasihat, teguran, bimbingan dan kaunseling malah amaran dan tindakan selanjutbya sekali pun jika sudah sampai kepada tahap yang serius dan kritikal.

Penutup

Menjadi guru berkesan, sekolah berkesan dan pencapaian pendidikan yang gemilang dan cemerlang bukan suatu yang mustahil dicapai. Prasyarat yang utama dan pertama ialah kesediaan dan keanggupan guru-guru sendri mengubah paradigma, mengubah stail berfikir dan bertindak secara orang-orang profesional dan yang paling penting menjadi seorang guru yang tidak mudah patah semangat.

Guru yang profesional sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekutan ilmu dan bertingkah-laku dengan keluhuran etika kerja serta menuntut kefahaman yang jelas dan mendalam, kesungguhan dan komitmen yang tinggi kepada penyempurnaan tugasnnya di sekolah setiap masa dan waktu. Guru yang berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam kehidupan kerjayanya di sekolah, dan mempunyai sikap optimistik dalam semua tindakan, serta sedia belajar dari kesilapan dan kelemahan.

Orang-orang yang berfikiran dan bersikap optimistik tidak mudah melatah, merungut dan menyalahkan orang lain dan keadaan semata-mata, orang yang optimistik melihat semuanya dari sudut yang serba berkemungkinan berjaya dan meningkat maju, sama ada dari aspek diri peribadi mahu pun aspek organisasi.

Seperti kata Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Abdul Shukor Abdullah di dalam perutusan Hari Guru 1999, beliau menyebut;

" Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara
berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan
diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh
itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan
watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai
pendidik yang unggul."ٱ

TANDA-TANDA LELAKI JATUH CINTA

1. Lelaki akan bersungguh-sungguh melakukan sesuatu perkara untuk kekasihnya dengan rela hati bukan kerana terpaksa atau dipaksa.
2. Lelaki akan sentiasa ingin menghiburkan kekasih hatinya dan berubah menjadi orang yang suka berbual.
3. Lelaki akan kerap menasihati dan memberi pandangan kepada kekasihnya sebagai tanda dia menyayangi kekasihnya itu.
4. Kadangkala lelaki cuba menyekat kebebasan kekasihnya kerana wujudnya perasaan cemburu dan curiga.
5. Lelaki sentiasa berasa takut akan kehilangan kekasihnya.
6. Lelaki tidak menyukai sekiranya kekasih hatinya rapat atau berkawan dengan lelaki lain.
7. Apabila kekasihnya tidak memberi tumpuan sepenuhnya, lelaki akan mudah berasa cemburu dan sensitif.
8. Adakalanya lelaki bersikap seperti keanak-anakan kerana mahukan perhatian dan layanan daripada kekasihnya.
9. Lelaki akan berubah menjadi seorang yang rajin dan sanggup membantu kekasihnya melakukan apa sahaja.
10. Lelaki mula pandai merajuk kerana ingin dipujuk oleh kekasihnya.
11. Lelaki akan mula berasa risau dan curiga apabila kekasihnya berjauhan darinya dalam tempoh yang lama.
12. Lelaki akan sentiasa memastikan keselamatan kekasihnya kerana dia lebih mementingkan kekasihnya daripada dirinya sendiri.1
3. Lelaki akan kerap bertanyakan sedalam mana cinta kekasihnya terhadap dirinya.
14. Lelaki tidak akan melayan perempuan lain jika tiada urusan penting.
15. Lelaki akan cuba meluangkan lebih banyak masa dengan kekasihnya walaupun terpaksa menunggu.
16. Lelaki akan cuba membanggakan kekasihnya di depan kawan-kawan atau orang lain.
17. Apabila putus cinta, lelaki mudah berasa serik dan wujudnya rasa tidak percaya dengan cinta perempuan lain. Pada masa yang sama, dia mengharapkan kekasihnya kembali.
18. Lelaki menganggap kekasihnya sebagai orang yang paling dipercayainya dan sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta mahupun nyawa.
19. Lelaki tidak akan berlaku curang terhadap kekasihnya. Tetapi apabila mereka curang ini bermakna kasih sayang terhadap kekasihnya itu belum sepenuhnya.
20. Tidak semua lelaki sanggup menitiskan air mata hanya kerana seorang perempuan.

MEMPERKASA GURU SEBENAR

Memperkasa Guru Sebenar Guru
Dalam
Membangun Diri Menunaikan Amanah
Guru Mengajar Murid Belajar

"Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali, jika kau tahu apa yang dicari."
~ Umar Al-Khattab


Objektif Sesi Hari Ini

· Mengenal dan menilai diri dari aspek profesionalisme dan profesionaliti
· Antara keunggulan dan realiti wujud ruang (jihad) membangunkan potensi diri
· Antara iman, amal dan bual, mana satu menjadi bekal?
· Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu
· Memenuhi tuntutan Guru Mengajar Murid belajar

"Profesionalisme" (bagi Eric Hoyle,1980) adalah sikap dan tindakan yang menyentuh
aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat
kerja, soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.
Semuanya adalah hal-hal yang selalu dihubungkaitkan dengan perjuangan kesatuan
sekerja.

"Profesionaliti" pula ialah sikap dan tingkah-laku yang ditunjukkan oleh seseorang
terhadap "profesionnya" serta taraf pengetahuan dan ketrampilan dalam bidang
pekerjaan itu.


Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya
dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya dikatakan
mempunyai "profesionaliti" yang tinggi. Dengan kata lain, guru itu melihat perguruan
dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu "pekerjaaan" tetapi sebagai satu "profesion"
(Omar Hashim,1993).

Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa

Terhadap Murid:

1. punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif
2. hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid
3. kenal, hormati dan percayai murid-murid
4. mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis
5. menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya
6. menggalakkan murid-murid bertanyakan soalan mengenai pelajaran
7. hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

Terhadap Mengajar:

1. melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru
2. berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman
3. adil dalam menilai dan menggred
4. fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran
5. bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
6. seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya
7. sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid
8. merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran
9. secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan
10. menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

Terhadap Disiplin:

1. seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar
2. seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan
3. juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya
4. aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya
5. menjadi ahli kepada komuniti yang belajar
6. bina dan mengekalkan perhubungan profesional
7. bekerja dalam organisasi sekolah yang luas

Secara Peribadinya:

1. tunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi
2. berfikiran terbuka, rendah diri, dan bersikap optimistik.


Antara "Keunggulan" dengan "Realiti" wujud ruang lakukan "Perjuangan"

Apa yang "unggul" itu?
Boleh diukur dan dinilai menerusi aspek i) Diri Peribadi 2) Organisasi 3) Iklim dan
Budaya Kerja.
1. Diri peribadi: bersikap positif dan memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran yang tidak dipertikai; berfikiran terbuka (tidak sempit, jumud dan beku); pengurusan masa dan diri yang tinggi (selalu on time, datang awal, masuk kelas cepat, mengajar dengan penuh dedikasi dan penuh sifat dan ciri-ciri profesionalisme dan profesionaliti yang tinggi); suka bekerjasama dengan rakan sejawat (tidak lokek ilmu); hasil kerja yang berkualiti (dari segi isi kandungan, format, gaya dan persembahan) memenuhi sifat-sifat seorang yang inovatif, kreatif dan produktif; sabar dalam melayani karenah anak didik dan juga rakan sejawatan; berpegang kepada prinsip yang jelas, betul, benar, dan utuh di dalam semua keadaan dan situasi.
2. Organisasi: dapat dilihat sebagai sebuah organisasi yang sistematik, teratur dan tertib; jelas susun atur heirarki tugas dan kuasa; wujud kolaborasi, kolegialiti dan partisipasi; masing-massing individu faham dan menyumbang kepada kegemilangan organisasi.
3. Iklim dan Budaya Kerja: diri peribadi yang jadi ahli organisasi akan tentukan senario, suasana atau pun iklim seluruh premis yang akhirnya wujud sebagai satu budaya kerja berkualiti dan cemerlang; persekitaran yang bersih, ceria dan selamat; suasana yang kondusif kepada pembelajaran bermakna; anak didik yang aktif dan responsif tetapi bukan bising tak tentu hala.

Tetapi "realitinya" bagaimana?

1. Aspek peribadi: bersikap yang tidak sesuai dan tidak cerminkan seorang (atau guru-
guru) yang sejati dengan tingkah-laku dan gelagat yang merendahkan martabat diri dan
organisasi; datang lewat, lambat masuk kelas mengajar, atau kalau masuk tidak
mengajar, atau masuk sekejap kemudian tinggalkan murid buat kerja sendiri, suka
buang masa (berborak dan bersembang semasa bertugas), buat sibuk pada masa dia
tidak sibuk; semuanya ini jadi amalan dan tak rasa malu apatah lagi rasa berdosa.
Pengetahuan dan kemahiran yang tidak berkembang; walau dah lama menjadi guru
tetapi kerja masih comot, kabur, salah sana salah sini, tak faham format dan
kandungan, sangat lewat siapkan laporan data dan maklumat (termasuk analisis dan
diagnosis) dan masih tak pandai buat minit mesyuarat atau belum faham-faham bezakan
antara laporan dan minit; dokumen murid sering tidak kemaskini; buku-buku latihan
murid sangat lama tidak diperiksa; dan paling buruk sikap bodoh sombong, besar diri
dan sangka diri paling betul hingga kerja wajib sebagai seorang guru ditinggalkan dan
melebihkan kerja-kerja lain yang bukan wajib (direct selling dan seumpamanya);
bagaimana kita hendak jadi Guru Sebenar Guru?


2. Aspek Organisasi pula kenyataannya datangnya daripada sikap dan perlakuan para
ahlinya; sering wujud senario nafsu-nafsi (tidak landaskan prinsip dan peraturan)
akhirnya terbentuk organisasi yang kalut, caca-marba, ikut suka; hingga berlarutan
bertahun-tahun maka wujudlah beberapa status organisasi seperti: i) Organisasi
Bermasalah, ii) Organisasi Terbiar, iii) Organisasi Berpenyakit, iv) Organisasi
Bebas-Cukai dan v) Organisasi Mentaliti "Mengajar sebagai Kerja Bodoh."

3. Aspek Iklim dan Budaya Kerja: Relitinya iklim yang gambarkan "budaya organisasi" yang
sentiasa di bawah standard dan jangkaan semua pelanggan dalaman dan luaran atau
tidak memenuhi aspirasi masyarakat dan negara. Maka terdengarlah segala macam
rungutan, komen dan kritikan daripada rakyat jelata di desa sampailah kepada Perdana
Menteri yang memerintah negara; antarnya seperti "Kita tidak serius sebagai Guru Besar...";
"..sekolah kebangsaan tidak menarik dan kurang berdisiplin.'; "3M tidak berkesan di sekolah
kebangsaan berbanding SJK Cina."; "Sebanyak 1,919 buah sekolah dikenalpasti sebagai sekolah
prestasi rendah (SPR) kerana pencapaian bawah 30% kelulusan UPSR (1999)"; " Pelajar-
pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi...."; adalah fakta
dan faktor yang mesti kita terima dan akui bagi membanteras dan memperbaikinya
melalui ruang yang luas di mana kita bebas membuat pilihan...yakni pilihan perjuangan
menghapuskan kealpaan, kelederan, kelewatan, ketidakakuran, kelemahan dan
kehinaan akibat dari kebejatan profesioanlisme.

Kita sebagai Apa yang Kita Fikirkan

Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan (amalan hidup); dan
apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat akan jadi "warisan" (legacy) setelah kita
berpindah sekolah. Apabila kita secara tekal berfikir, bertindak (beramal) dan
mengutamakan motif diri kita inilah kemudiannya yang digelar sebagai sikap. Oleh itu
kaitan antara pemikiran, perbuatan atau tingkah-laku dan kepercayaan (beliefs) amatlah
saling berkait rapat dalam membezakan seseorang personaliti dengan personaliti yang
lain.

Jika kita fikirkan mengajar bersungguh-sungguh tidak penting (asal ajar sudah) maka
kerja mengajar kita jadilah sebagaimana seadanya sahaja, dan di mata anak didik kita
dilabel sebagai "guru malas". Begitu juga jika kita fikir datang awal atau masuk kelas
segera sebagai tidak penting maka jadilah kita orang yang sentiasa 'lengahkan waktu' dan
seolah-olah tidak berminat dalam pekerjaan kita sendiri.

Atau apa yang kita asyik lebihkan masa berborak dan bersembang (termasuk adu domba,
fitnah, hasut-menghasut, apatah lagi berpolitik) daripada mengajar anak didik sebaik-
baiknya, maka jadilah kita orang-orang yang utamakan kerja yang tidak berkenaan dan
mengabaikan kerja utama dan kerja yang wajib ke atas kita. Pendeknya inilah yang
dikatakan segala yang kita fikir, yakni menjadi 'kepercayaan kita' maka kita pasti
melakukan segala 'kebejatan' ini yakni apa yang kita amalkan setiap hari sehingga
menepati Hukum Ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah
menjadi "warisaan" kita yang kita tinggalkan nanti.

Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu

Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih;
buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita
sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri
profesionaliti yang tinggi sepanjang masa. Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang
profesional dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita
menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa
dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru.

Guru yang Profesional Guru yang tidak Profesional

Mula kerja awal pagi Mula kerja setelah loceng berbunyi

Sedia bergerak awal hari Sudah pun letih di awal pagi

Mengurus dengan merancang Mengurus dengan krisis

Ada perancangan & matlamat Ada berbagai alasan

Berpakaian secara 'profesional' Berpakaian selekeh

Guna waktu luang sebagai waktu Guna waktu luang mengumpat dan mengeji
'kerja'

Suka ikuti latihan kerana berikan perkem- Komplen tentang latihan dan pelik menga-
bangan profesional pa ianya perlu

Dalam mesyuarat mereka duduk di mana Dalam mesyuarat mereka duduk di tepi
mereka boleh belajar pintu

Cari perkara-perkara untuk dipuji Cari perkara-perkara untuk dikomplen

Berusaha cari punca sesuatu tidak berjalan Salahkan orang lain bila sesuatu tidak ber-
jalan

Sedia buat keputusan dan selesai masalah Bertanya "Apa patut saya buat?"

Lihat pentadbir sebagai rakan kongsi Lihat pentadbir sebagai tempat
dalam pendidikan melepaskan geram

Melanggan dan membaca jurnal profesional Fikir jurnal profesional sebagai membazir-
kan wang sahaja

Mendapat penghormatan setiap hari Merungut kerana tidak dapat penghor-
matan

Buat yang terbaik Buat apa orang lain buat

Kembangsuburkan kerjaya mereka Bimbang tentang kerja mereka

Rasa dan bertindak 'empowered' Rasa dan bertindak seperti mangsa

Sedia untuk belajar dan dapatkan bantuan Tidak sedia belajar atau terima bantuan

Belanja wang untuk perkembangan profesio- Enggan belanja untuk perkembangan
nal atau untuk bilik darjah profesional atau untuk bilik darjah

Percaya anak didik boleh belajar, dan lihat Percaya anak didik degil, tidak
tugas mereka membantu proses ini bertanggungjawab, dan malas

Melihat pekerjaan 'mengajar' sebagai satu Melihat kerja mengajar sebagai satu kerja
profesion paling mulia. dengan gaji lumayan sahaja.


Memenuhi Tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar"

Objektif kita akhirnya ialah memenuhi tuntutan konsep "guru mengajar murid belajar"
dapat direalisasikan pada tahap paling optimum dan dapat pula kita buktikan menerusi
kerja-buat kita setiap hari dan waktu. Bagi mencapai tahap ini semua kita mestilah
membetulkan iman (kepercayaan), bual (percakapan), dan amal (segala perlakuan) kita
sentiasa selaras antara ketiga-tiga aspek tersebut.

Memenuhi tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar" pula perlukan semua kita menjadi
guru-guru yang sebenar guru "Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu"; yang
membawa erti seseorang guru itu penuh iltizam, dedikasi, komited dan
bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muirdnya. Prinsipnya
ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' pekerjaan yang sangat
mulia. Janganlah rosakkan 'kemuliaan tugas' ini dengan perangai dan gelagat yang tersasar
jauh daripada etika dan adab seorang guru yang mursyid. Guru-guru mestilah
menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa
muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Guru-guru begini tidak akan cepat
menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri terlebih dahulu di samping
berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri.

Guru Sebenar Guru tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi
seperti: selalu ponteng; banyak beri alasan dan helah; sering mengelakkan diri daripada
menerima tugas dan tanggungjawab; menganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara'
atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri
'orang malas' ketika di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria dan
dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh, memeriksa buku-buku tanpa
bertangguh.

Penutup

Fahamlah kita bahawa kecemerlangan organisasi dan institusi amat bergantung kepada
mutu jatidiri individu yang berada di dalamnya sama ada ia seorang guru, pembantu
tadbir, pembantu am rendah atau pun pekerja rendah awam; yang semuanya mempunyai
'amanah tugas' dan tanggungjawab yang sudah jelas dan terperinci yang tidak boleh kita
dakwa bahawa kita tidak tahu mengenainya.

Marilah kita menginsafinya dengan setulus ikhlas bahawa sebarang 'defisit
pembelajaran' misalnya adalah kerana kita selaku guru-guru yang tidak mengutamakan
masa sebaik mungkin semasa mengajar selama ini. Bagaimana pula kita akan dapat
memenuhi tuntutan bekerja 8 jam sehari seperti yang sedang diura-urakan oleh pihak
Kementerian Pendidikan jika waktu bekerjas 5½ jam sekarang ini pun kita sudah "lesu
dan layu?"ٱ

PETUA RUMAH TANGGA HARMONI

1. JALIN KOMUNIKASI
v Pasangan suami isteri disarankan selalu berterus terang dan mengelak memendam perasaan dalam jangka masa yang lama.
v Sekiranya ada sikap atau perkataan yang diluahkan pasangan membuatkan anda tersinggung atau marah, maka luahkan dengan cara yang lembut dengan pasangan. Jaga intonasi anda ketika menengur pasangan. Elak menggunakan kata-kata kasar untuk ‘menyerang’ pasangan kerana jika itu yang anda lakukan masalah pasti tidak akan selesai dengan baik.

2. BERIKAN RUANG
v Marah adalah reaksi normal seseorang yang sedang tidak dapat berkompromi. Maka di sini pentingnya kepekaan setiap pasangan untuk melihat keadaan pasangannya yang sedang mengalami amarah ini.
v Berikan ruang kepadanya untuk menilai diri dan juga meredakan perasaan marahnya.
v Tempatkan diri anda untuk menjadi pendengar kepada masalahnya. Tanyakan apa yang membuatkan dirinya tidak puas hati dan sebagainya. Carilah jalan penyelesaian terbaik untuk perkara ini.
v Namun, jangan sekali-kali menjadi ‘hakim’ yang memberikan keputusan atas tindakannya. Ia akan mengeruhkan lagi suasana. Selain tidak mampu menyelesaikan masalah, ia juga mampu merumitkan situasi yang dihadapi.

3. HARGAI PERBEZAAN
v Perbezaan antara suami isteri akan jadi perkara yang menyempurnakan sebuah perhubungan. Namun sebenarnya untuk menyatukan perbezaan yang ada antara suami dan isteri bukanlah mudah. Ia tidak semudah membalikkan telapak tangan. Selalunya, perbezaan inilah yang menimbulkan masalah, rasa tidak puas hati malah makan hati.
v Sekiranya pasangan dapat menghargai perbezaan tersebut, maka perselisihan tentu saja mampu diminimumkan. Belajarlah tentang apa yang disukai dan tidak disukai oleh pasangan. Pelajari juga sikapnya walaupun ia tidak menyenangkan anda.

4. BELAJAR BERKOMPROMI
v Cubalah untuk menyelesaikan setiap masalah dengan segera. Jangan bertangguh, kerana ia boleh menyebabkan masalah makin serius. Jangan bermasam muka atau memendam perasaan terlalu lama kerana hati akan semakin sakit.
v Jangan mengelak diri jika pasangan mengajak berbincang. Duduklah berbincang dengan hati yang tenang. Sekali lagi, ketika itu jaga emosi dan juga nada suara anda.
v Kalau masalahnya berkaitan dengan kepenatan anda menguruskan rumah tangga, jangan terus menyerangnya dengan menyatakan perasaan malas. Sebaliknya luahkan dengan tenang tentang keletihan yang anda rasai dan mintalah simpati daripadanya untuk membantu menguruskan ank-anak dan kerja rumah lain. Dengan nada yang lembut mustahil pasangan tidak berasa kasihan. Setiap pasangan harus belajar berkompromi.


5. JANGAN LIBATKAN ANAK-ANAK DAN ORANG TUA
v sekiranya berlaku pertengkaran antara suami isteri, jangan alihkan kemarahan anda kepada anak-anak atau orang tua. Elakkan juga membiarkan anak-anak menjadi saksi pertengkaran anda suami isteri kerana ia boleh mempengaruhi emosi anak.
v Selain itu, melibatkan orang tua dalam masalah rumah tangga yang anda hadapi hanya akan menyebabkan situasi bertambah keruh. Terutama, jika mereka memberi nasihat yang salah buat anak-anaknya. Ibu bapa mungkin lebih dahulu makan garam tapi masalah yang dihadapi setiap pasangan suami isteri itu berbeza. Oleh itu berusahalah untuk menyelesaikan masalah yang anda hadapi dengan cara anda sendiri.

(hanya sekadar berkongsi pengalaman)

Ahad, 6 Disember 2009

MASIHKAH ADA BAHAGIA....



Masih adakah peluang lagi untukku mempunyai anak sendiri??