Selasa, 8 Disember 2009

PETUA RUMAH TANGGA HARMONI

1. JALIN KOMUNIKASI
v Pasangan suami isteri disarankan selalu berterus terang dan mengelak memendam perasaan dalam jangka masa yang lama.
v Sekiranya ada sikap atau perkataan yang diluahkan pasangan membuatkan anda tersinggung atau marah, maka luahkan dengan cara yang lembut dengan pasangan. Jaga intonasi anda ketika menengur pasangan. Elak menggunakan kata-kata kasar untuk ‘menyerang’ pasangan kerana jika itu yang anda lakukan masalah pasti tidak akan selesai dengan baik.

2. BERIKAN RUANG
v Marah adalah reaksi normal seseorang yang sedang tidak dapat berkompromi. Maka di sini pentingnya kepekaan setiap pasangan untuk melihat keadaan pasangannya yang sedang mengalami amarah ini.
v Berikan ruang kepadanya untuk menilai diri dan juga meredakan perasaan marahnya.
v Tempatkan diri anda untuk menjadi pendengar kepada masalahnya. Tanyakan apa yang membuatkan dirinya tidak puas hati dan sebagainya. Carilah jalan penyelesaian terbaik untuk perkara ini.
v Namun, jangan sekali-kali menjadi ‘hakim’ yang memberikan keputusan atas tindakannya. Ia akan mengeruhkan lagi suasana. Selain tidak mampu menyelesaikan masalah, ia juga mampu merumitkan situasi yang dihadapi.

3. HARGAI PERBEZAAN
v Perbezaan antara suami isteri akan jadi perkara yang menyempurnakan sebuah perhubungan. Namun sebenarnya untuk menyatukan perbezaan yang ada antara suami dan isteri bukanlah mudah. Ia tidak semudah membalikkan telapak tangan. Selalunya, perbezaan inilah yang menimbulkan masalah, rasa tidak puas hati malah makan hati.
v Sekiranya pasangan dapat menghargai perbezaan tersebut, maka perselisihan tentu saja mampu diminimumkan. Belajarlah tentang apa yang disukai dan tidak disukai oleh pasangan. Pelajari juga sikapnya walaupun ia tidak menyenangkan anda.

4. BELAJAR BERKOMPROMI
v Cubalah untuk menyelesaikan setiap masalah dengan segera. Jangan bertangguh, kerana ia boleh menyebabkan masalah makin serius. Jangan bermasam muka atau memendam perasaan terlalu lama kerana hati akan semakin sakit.
v Jangan mengelak diri jika pasangan mengajak berbincang. Duduklah berbincang dengan hati yang tenang. Sekali lagi, ketika itu jaga emosi dan juga nada suara anda.
v Kalau masalahnya berkaitan dengan kepenatan anda menguruskan rumah tangga, jangan terus menyerangnya dengan menyatakan perasaan malas. Sebaliknya luahkan dengan tenang tentang keletihan yang anda rasai dan mintalah simpati daripadanya untuk membantu menguruskan ank-anak dan kerja rumah lain. Dengan nada yang lembut mustahil pasangan tidak berasa kasihan. Setiap pasangan harus belajar berkompromi.


5. JANGAN LIBATKAN ANAK-ANAK DAN ORANG TUA
v sekiranya berlaku pertengkaran antara suami isteri, jangan alihkan kemarahan anda kepada anak-anak atau orang tua. Elakkan juga membiarkan anak-anak menjadi saksi pertengkaran anda suami isteri kerana ia boleh mempengaruhi emosi anak.
v Selain itu, melibatkan orang tua dalam masalah rumah tangga yang anda hadapi hanya akan menyebabkan situasi bertambah keruh. Terutama, jika mereka memberi nasihat yang salah buat anak-anaknya. Ibu bapa mungkin lebih dahulu makan garam tapi masalah yang dihadapi setiap pasangan suami isteri itu berbeza. Oleh itu berusahalah untuk menyelesaikan masalah yang anda hadapi dengan cara anda sendiri.

(hanya sekadar berkongsi pengalaman)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan