Sabtu, 12 Jun 2010

DRAMA 'SURAT UNTUK INA'

SINOPSIS
Badar dan Jais cuba mengorek rahsia Zali yang meminati seorang pengawas yang bernama Zalina. Zali tidak mengiyakan atau menidakkan perkara itu sebaliknya dia hanya tersenyum. Badar dan Jais mencadangkan supaya Zali menulis surat kepada Zalina. Zali bimbang kalau-kalau Zalina akan mengadukan perkara itu kepada Cikgu Halil, guru disiplin di sekolah mereka. Badar dan Jais meminta Zali menulis surat tanpa nama pengirim dan menyatakan niatnya yang ingin berkenalan serta bersahabat dengan Zalina. Akhirnya surat itu siap ditulis oleh Zali dan diletakkan di dalam meja Zalina.
Zalina membawa surat yang ditulis oleh Zali untuk ditunjukkan kepada Cikgu Halil. Jais bimbang rahsia Zali terbongkar. Zali agak yakin Cikgu Halil tidak akan tahu. Namun begitu, apabila Jais menyebut tentang tulisan Zali, Zali mulai bimbang. Badar Zalina tidak mungkin berani melaporkan perkara itu kepada Cikgu Halilnkerana nanti dia juga yang akan malu. Ternyata andaian Badar itu meleset. Cikgu Halil masuk ke kelas dan menyuruh semua pelajar mengeluarkan buku latihan masing-masing. Cikgu Halil meneliti tulisan dalam buku para pelajar. Beliau meneliti tulisan dalam buku Zali agak lama. Cikgu Halil meminta Zali menulis nama dan alamatnya di papan hitam. Terbuktilah bahawa tulisan dalam surat itu meyerupai tulisan Zali. Beliau meminta Zali mengakui kesalahannya.
Cikgu Halil memutuskan hukuman yang akan dikenakan terhadap Zali bergantung kepada keputusan Zalina. Zali meminta maaf kepada Zalina. Zalina memaafkan Zali dan menasihati Zali supaya tidak mengulang perbuatannya. Badar dan Jais berasa gembira.

TEMA : Kenakalan pelajar lelaki yang sedang meningkat remaja yang melanggar peraturan sekolah.

PERSOALAN
1. Perasaan tertarik kepada individu yang berlainan jantina.
2. Pengaruh rakan sebaya yang kuat terhadap remaja.
3. Peranan guru dalam menyelesaikan masalah yang timbul.
4. Amalan bermaaf-maafan merupakan amalan yang baik.
5. Ketegasan seorang pengawas untuk menguatkuasakan peraturan sekolah

WATAK DAN PERWATAKAN

Zali : rakan Badar dan Jais, meminati Zalina, mudah terpengaruh oleh kata-kata Badar dan Jais,pelajar yang baik dan bijak,berani mengakui kesalahannya, sanggup meminta maaf atas kesalahan yang dilakukannya.
Badar : rakan Zali dan Jais, nakal dan suka mengusik orang, tahu bahawa Zali meminati Zalina, pandai mempengaruhi Zali.
Jais : rakan Zali dan Badar, nakal dan suka mengusik orang, tahu bahawa Zali meminati Zalina, pandai mempengaruhi Zali.
Zalina : pengawas sekolah dan berambut panjang, bijak,cantik dan bersopan, tegas, rajin, pemaaf.
Cikgu Halil : tidak terburu-buru dalam membuat keputusan, bijak,tegas, berfikiran terbuka.
Fatimah : kawan baik Zalina, pustakawan sekolah.


PLOT
Permulaan : Zali, Jais dan Badar berbual-bual di bawah pokok tentang seorang pengawas perempuan di sekolah mereka, Zalina. Zali berhasrat mahu berkenalan dengan Zalina.
Perkembangan : Jais mencadangkan kepada Zali agar menulis surat kepada Zalina dan meletakkan surat tersebut ke dalam meja Zalina. Zali menyetujuinya. Dengan bantuan Jais dan Badar yang mengawasi persekitaran, Zali berjaya meletakkan surat tersebut di dalam meja Zalina.
Perumitan : Fatimah marah apabila Badar, Zali dan Jais membuat bising di dalam kelas. Zalina menemui Cikgu Halil dan menyerahkan surat yang diterimanya kepada Cikgu Halil.
Puncak : Cikgu Halil mengarahkan semua murid meletakkan buku karangan masing-masing di atas meja. Zali yang tidak membawa buku karangannya diminta menulis alamatnya di papan hitam. Perbuatan Zali terbongkar apabila tulisannya sama dengan tulisan dalam surat yang diterima oleh Zalina.
Peleraian : Zali meminta maaf kepada Zalina atas perbuatannya dan Zalina memaafkannya.

TEKNIK PLOT
Teknik dialog
ZALI : Kalau aku tidak tulis nama, macam mana aku hendak kenal dia.
Dan bagaimana pula dia hendak mengenali aku?
BADAR : Tadi, kau kata takut dilaporkan kepada Cikgu Halil.
Teknik pemerian
Contoh: ZALI segera beredar ikut pintu belakang. Mereka bertiga terus berlalu. ZALINA dan rakan-rakannya masuk ke kelas. ZALINA terus duduk di dalam kelas. Selepas itu, BADAR dan rakan-rakannya masuk.
Teknik saspens
Pembaca tertanya-tanya sama ada rahsia Zali akan terbongkar atau tidak apabila Zalina membuat keputusan menemui Cikgu Halil setelah dia menerima surat tanpa nama pengirim itu.

GAYA BAHASA
 Peribahasa : Sudahlah! Janganlah masuk bakul, angkat sendiri.
 Bahasa Inggeris : member, relax
 Sinkof : Li, kau ingat tak apa yang kautanyakan aku semalam!
 Similie : otak macam komputer dan gadis yang cantik macam bidadari.
 Repitisi : Apabila dia masuk ke kelas, dia akan buka dan membacanya.
 Anafora : Aku boleh belajar dan mengulang kaji pelajaran bersama-samanya.
Aku belajar pun, akan bertambah semangat.

LATAR
 Latar tempat : di bawah pokok, di satu kawasan lapang, di dalam kelas.
 Latar masa : waktu pagi ( waktu persekolahan ).
 Latar masyarakat
• Masyarakat sekolah: murid dan guru.
• Masyarakat murid yang gemar melanggar peraturan sekolah.
• Masyarakat yang mengamalkan sikap saling bermaafan.
• Masyarakat pengawas yang tegas menegakkan disiplin.

NILAI
• Ketegasan
• Kebijaksanaan
• Bertanggungjawab
• Bermaaf-maafan
• Patuh kepada arahan

PENGAJARAN
1. Guru mestilah tegas kepada murid yang tidak mematuhi peraturan sekolah.
2. Sikap saling bermaaf-maafan mestilah diamalkan dalam kehidupan.
3. Setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan bijak.
4. Sikap suka melanggar peraturan sekolah mestilah dihindarkan.
5. Kita mestilah tegas menjalankan tugas yang diamanahkan

CERPEN 'KASUT KELOPAK JANTUNG'

SINOPSIS
Cikgu Harun telah menerima hadiah daripada anak muridnya menjelang Hari Guru setiap tahun. Pemberian ini telah mengingatkannya kepada peristiwa yang telah berlaku tiga puluh tahun lalu sewaktu beliau menjadi seorang pendidik di kawasan pedalaman. Seorang pelajar yang miskin bernama Ahmad tidak mampu membeli kasut untuk ke sekolah. Ahmad hanya berjalan kaki ke sekolah dan tidak disenangi oleh Cikgu Harun kerana beliau terpaksa menegur Ahmad setiap kali bermulanya sesi pembelajaran. Kemarahan Cikgu Harun sudah sampai kemuncak apabila Ahmad tidak menukar pakaian waktu bersenam di sekolah. Cikgu Harun telah mendenda Ahmad dengan menyuruh Ahmad memakai kasut kelopak jantung pisang sebagai kasut. Ahmad tidak dibenarkan membuka kelopak jantung pisang itu sehingga dia membeli kasut yang baharu. Ahmad berasa sangat malu terhadap kawan-kawannya dan dia tidak hadir ke sekolah selama seminggu. Perkara ini membimbangkan Cikgu Harun. Ckigu Harun telah pergi ke rumah Ahmad dan berjumpa dengannya. Beliau terkejut kerana Ahmad tidak membuka kasut kelopak jantung itu kerana tidak mempunyai duit untuk membeli kasut baharu. Cikgu Harun berasa sedih dan membelikan Ahmad sepasang kasut dan pakaian baharu untuk ke sekolah. Akhirnya, Ahmad berjaya menjadi pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar.


TEMA : Kemiskinan hidup pelajar di kawasan pedalaman dalam menempuh alam persekolahan dan pelajar yang menghargai jasa guru.

PERSOALAN
1. Kecekalan dalam menuntut ilmu walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
2. Ingatan dan penghargaan terhadap guru yang berjasa.
3. Ketaatan murid terhadap arahan guru.
4. Ketegasan seorang guru.
5. Sikap bertanggungjawab seorang guru terhadap pelajar.
6. Gigih bekerja untuk mencari rezeki

WATAK DAN PERWATAKAN
Ahmad : seorang murid darjah tiga yang miskin yang hidup dalam serba kekurangan sehingga tidak mampu untuk membeli kasut sekolah, mengenang jasa, patuh arahan, rajin, sensitif, gigih berusaha.
Cikgu Harun : seorang guru yang pernah bertugas di sebuah sekolah di pedalaman,berusia akhir 50-an, tegas, bertanggungjawab, prihatin.

PLOT
Permulaan : Cikgu Harun telah menerima hadiah setalah balik dari surau. Pemberian hadiah itu membuatkan Cikgu Harun terkenang peristiwa yang dialaminya lebih tiga puluh tahun lalu semasa mengajar di sebuah sekolah di kawasan pedalaman.
Perkembangan : Cikgu Harun mengajar darjah tiga dan seorang anak muridnya yang bernama Ahmad sering tidak berkasut apabila datang ke sekolah. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan Cikgu Harun.
Perumitan : Cikgu Harun hilang kesabaran apabila Ahmad tidak menukar pakaian untuk bersenam di padang. Ahmad telah didenda oleh Cikgu Harun. Cikgu Harun menyuruh Ahmad memakai kelopak jantung pisang yang diikat dengan tali rafia sebagai pengganti kasut dan Ahmad tidak dibenarkan membuka kasut kelopak jantung itu sehingga dia membeli kasut baharu untuk ke sekolah.
Puncak/klimaks : Ahmad berasa sangat malu. Ahmad tidak hadir ke sekolah selama seminggu. Cikgu Harun telah mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad. Cikgu Harun berasa terkejut dan sedih apabila melihat Ahmad tidak membuka kasut kelopak jantung itu kerana dia masih tidak mempunyai wang untuk membeli kasut yang baharu.
Peleraian : Cikgu Ahmad telah membelikan kasut dan pakaian yang baharu untuk Ahmad ke sekolah. Ahmad telah berjaya menjadi seorang pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar dan sentiasa mengingati Cikgu Harun dengan menghantar hadiah kasut kepada gurunya itu.

TEKNIK PLOT
a) Teknik imbas kembali
Peristiwa Cikgu Harun memamrahi Ahmad kerana tidak berkasut.
b) Teknik pemerian/ penceritaan
Cikgu Harun menghidupkan motosikalnya dan terus bergegas ke pekan untuk membelikan Ahmad sepasang kasut dan baju sekolah baharu.
c) Teknik monolog dalaman
Cikgu Harun tertanya-tanya apabila mendapat tahu Ahmad hendak berhenti sekolah.

GAYA BAHASA
Diksi ( pemilihan kata )
• Bahasa Arab : mangli
• Bahasa Indonesia : marhaen
• Bahasa Inggeris : uniform

Ayat pendek
• Pasti.
• Ahmad berlalu.

Similie
• Terasa ketika itu kakinya macam kaki gajah yang untut dan tidak cantik.
• Seperti kaki ayam yang mencakar najis.

Hiperbola
• Sakit hatinya kini lebih perit daripada sakit tertusuk duri semalu di tepi jalan.

Peribahasa
• Kadang-kadang Ahmad dilihatnya seperti lurus bendul.

Repitisi
• Kasut sekolah tak pakai, baju sukan tak bawa....

Sinkof
• “Apa nak jadi dengan kamu ni?”

Anafora
• Mana ada guru yang mahu muridnya gagal dalam pelajaran.
• Mana ada guru yang mahu murid-muridnya berhenti sekolah.


LATAR
Latar masa
• Secara keseluruhannya, cerpen ini mengambil masa yang panjang. Hampir beberapa minggu.
• Pada waktu pagi.
• Pada waktu petang.
• Pada Hari Guru, 16 Mei.

Latar tempat
• di dalam bilik darjah.
• di rumah Cikgu Harun.
• di padang sekolah.
• di rumah Ahmad.
• di pekan.

Latar masyarakat
• masyarakat yang hidup dalam kemiskinan.
• Masyarakat yang patuh pada arahan guru.
• Masyarakat yang mengenang jasa guru.
• Masyarakat guru yang mengajar di luar bandar.
• Masyarakat yang berjaya.

NILAI
• Tegas
• Cekal
• Bersimpati
• Mengenang jasa
• Bertanggungjawab

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah sentiasa patuh pada arahan guru.
2. Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap perbuatan yang telah dilakukan.
3. Seorang guru haruslah tegas dalam mendidik.
4. Kita hendaklah mengenang jasa guru yang mendidik kita.
5. Jangan jadikan kemiskinan sebagai alasan untuk enggan menuntut ilmu.
6. Kita hendaklah tabah dan menerima segala takdir yang menimpa kita serta menganggapnya sebagai ujian daripada Tuhan kepada hambanya.
34 CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG
Ciri-ciri Pelajar yang Cemerlang
1. Optimistik
Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'
2. Jangan bersikap pesimistik
Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.
3. Kesedaran memikul tanggungjawab
Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.
4. Tumpuan sepenuh hati
Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.
5. Mulakan dari awal
Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.
6. Sentiasa bersedia
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'
7. Lengkapkan peralatan
Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?
8. Tepati waktu belajar
Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
9. Dapatkan bantuan guru
Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
10. Hormati guru
Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
11. Bersoal jawab dengan guru
Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.
12. Beri pandangan membina
Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
13. Berbncang dengan rakan
Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
14. Siapkan tugasan yang diberi
Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.
15. Tubuhkan kumpulan studi
Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.
16. Sering masuk perpustakaan
Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.
17. Baca akhbar
Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.
18. Menonton rangcangan yang sesuai
Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita semasa.
19. Lakukan peperiksaan kendiri
Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.
20. Sediakan jadual waktu
Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
21. Sertai ceramah motivasi
Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.
22. Sertai seminar peperiksaan
Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.
23. Beli buku rujukan
Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.
24. Masuk kelas tuisyen
Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
25. Lawatan ke pameran buku
Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis... (fikirlah sendiri)
26. Sertai kokurikulum sekolah
Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan melahirkan pemikiran yang lembab.
27. Sanggup manghadapi cabaran
Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.
28. Jaga keselamatan diri
Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.
29. Jaga kesihatan fizikal
Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
30. Makanan seimbang
Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
31. Malu bertanya sesat jalan
Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.
32. Sembahyang
Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
33. Doa
Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
34. Tawakkal
Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.
35 PETUA PELAJAR CEMERLANG DARI DR FADZILAH KAMSAH
Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:

1.Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
2.Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
1.kita ingat 10 % apayang dibaca
2.kita ingat 20% apa yang didengar
3.kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
4.kita ingat 70% apa yang dicakapkan
5.kita ingat 90% setelah dipraktikkan
3.Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
4.Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).
5.Belajar dalam persekitaran kondusif.
1.pastikan cahaya adalah terang
2.kurangkan gangguan bunyi
3.tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
4.tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
5.kerusi dan meja menghadap kiblat
6.jangan lupa untuk senyum
6.Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
7.Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
8.Tahu teknik merangsang memori:
1.memasukkan maklumat dalam memori (registration)
2.menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
3.mengingat kembali (recall)
4.menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
9.Sentiasa awal dan mendahului:
1.persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
2.pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
3.belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
4.untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
10.Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
11.Mempunyai teknik membaca yang betul:
1.duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
2.memberikan tumpuan sepanuhnya
3.menggunakan jari telunjuk untuk membaca
4.menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
12.Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
13.Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
14.Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
15.Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
16.Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
17.Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
18.Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
19.Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
20.Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
21.Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
22.Tahu petua mengulang kaji
1.cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
2.siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
3.duduk tegak dikerusi yang selesa
4.baca doa penerang hati
5.baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
6.fikir dan ingat kembali isi utama
7.catat/lakar
8.semak semula ketepatan maklumat
9.ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
10.buat rumusan
11.jawab soalan
12.tampal maklumat yang rumit di dinding
13.baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
23.Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
24.Tahu petua-petua agar tidak lupa:
1.jangan makan kepala ikan
2.jangan makan organ dalaman
3.jangan minum semasa makan
4.jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
5.jangan melihat kemaluan
6.jangan melihat buih
7.jangan membaca nama pada batu nisan
8.banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
9.banyakkan makan kismis, kurma dan madu
10.banyakkan makan kekacang
11.pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
12.jangan makan sehingga terlalu kenyang
13.jangan kencing berdiri
25.Tahu kemahiran mengingat:
1.tampal nota-nota penting di dinding
2.tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
3.gunakan kaedah akronim
4.reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
5.pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
26.Cekap mengatur jadual belajar:
1.mempunyai jadual belajar
2.patuh kepada jadual
3.buat jadual yang boleh diikuti
27.Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
28.Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
29.Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
30.Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
31.Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
32.Pelbagaikan tempat belajar.
33.Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
34.Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
35.Ciri-ciri pelajar cemerlang:
1.taat kepada Allah
2.mendirikan sembahyang
3.menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
4.hormati & sayangi guru
5.bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
6.suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
7.membantu rakan yang memerlukan
8.berdoa dan bersyukur kepada Allah
9.sentiasa bertawakal
10.mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat. :)

Hari Jadiku....

Jumaat, 25 Disember 2009

PERUMPAMAAN

B
Bagai aur dengan tebing : saling membantu antara satu dengan yang lain
Bagai duri dalam daging : sesuatu hal yang tidak menyenangkan hati
Bagai melepaskan batuk di tangga : membuat kerja secara sambil lewa sahaja
Bagai layang-layang terputus talinya : hidup tanpa arah tuju
Bagai abu di atas tunggul : sesuatu keadaan yang tidak tetap
Bagai anjing buruk kepala : orang yang sangat dibenci oleh masyarakat
Bagai ayam mengeram telur : muka menjadi merah
Bagai ayam disambar helang : orang yang hilang dengan tiba-tiba
Bagai lebah menghimpun madu : sangat rajin

L
Laksana burung diam dalam sangkar : orang yang hidupnya terikat
Laksana katak diharung ular : lari bertempiaran dengan riuh-rendah kerana ketakutan
Laksana kulit udang terbakar : kulit yang berkeadaan merah
Laksana wau melawan angin : kehendak orang besar/orang yang berkuasa tidak dapat dihalang oleh orang yang lemah
Laksana pohon kayu tidak berbuah : ilmu yang tidak diamalkan
Laksana garam dan asam : kalau sudah ada jodoh akan bertemu juga walaupun jauh


S
Seperti anjing dengan kucing : sering bertengkar
Seperti ayam berak kapur : rupa pucat kerana sakit atau ketakutan
Seperti embun di hujung daun : kasih sayang yang sementara sahaja
Seperti gunting dalam lipatan : musuh secara sembunyi-sembunyi
Seperti anjing bercawat ekor : orang yang tidak mahu mengikut perubahan semasa, padahal keadaan sekelilingnya telah berubah
Seperti batu jatuh ke lubuk : hilang lenyap
Seperti bulan dipagari bintang : seorang gadis cantik dikelilingi oleh gadis-gadis cantik yang lain akan kelihatan lebih cantik lagi gadis itu
Seperti burung gagak pulang ke benua : orang yang pulang dari rantau tetapi perangainya seperti dahulu juga
Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing : orang yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan hal orang lain
Seperti gergaji dua mata : orang yang menjdi orang tengah/pesuruh kepada dua pihak, akhirnya mendapat keuntungan daripada kedua-dua pihak

U
Umpama kiambang di air, akarnya tidak jejak di bumi : kedudukan tidak tetap
Umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga : orang yang baik akan dipandang mulia di mana-mana jua
Umpama lebah, mulut membawa madu, buntut membawa sengat : perempuan yang elok rupanya tetapi berperangai jahat
Umpama durian dengan mentimun, menggolek binasa, kena golek pun binasa : orang yang lemah tidak berdaya menentang orang yang berkuasa dan menerima kerugian
Umpama pisau di tangan kanan, mentimun di tangan kiri : orang yang mempunyai kuasa dan harta kekayaan serta bebas melakukan sesuatu mengikut kehendak hatinya
Umpama hendak menepung tiada berberas : pekerjaan yang dibuat dengan tidak cukup syarat, sukar menjadi sempurna
Umpama jari di tangan, ada bercincin, ada tidak : hukuman yang tidak adil
Umpama burung di dalam sangkar, mata terlepas, badan terkurung : walaupun dipelihara dengan baik tetapi tidak mempunyai kebebasan
Umpama pucuk dan umbut, tiada lauk baru dibaham : sesuatu yang kurang berguna akan dipakai juga apabila yang lain tiada lagi

KATA GANTI NAMA DIRI TANYA

Kata Ganti Nama Diri Tanya

1. Kata ganti nama diri tanya ialah perkataan yang merujuk kepada benda atau orang dalam bentuk tanya.
Contoh:
• Apa merujuk kepada benda atau perkara.
• Siapa merujuk kepada orang.
• Mana merujuk kepada benda atau orang.
2. Partikel –kah hanya digunakan apabila kata ganti nama diri tanya digunakan di hadapan ayat.
Contoh:
• Apakah nama bangunan yang tertinggi di dunia? [betul]
• Nama bangunan yang tertinggi di dunia apakah? [salah]
3. Kata ganti nama diri tanya yang digandakan akan bertukar menjadi kata ganti tak tentu.
4. Contoh kesalahan dalam ayat:
• Dia tidak membawa apa kelengkapan memasak untuk perkhemahan kerana terlupa. [salah]
• Dia tidak membawa apa-apa kelengkapan memasak untuk perkhemahan kerana terlupa. [betul]

SOALAN LATIHAN

A. Soalan Subjektif
Garisi kata ganti nama diri tanya yang betul.

1. (Apakah / Siapakah ) yang menjadi ketua pengawas sekolah tahun ini?
2. Perkara yang dibincangkan itu ( mana / apa )?
3. Nama pelajar yang baru datang itu ( siapa / apa )?
4. “Rombongan yang datang itu dengan ( siapa / apa )?”tanya Izzat kepada pemuda itu.
5. “( Apakah / Siapakah ) yang datang bersama-sama kamu semalam?”tanya ibu kepada Rahman.

B. Soalan Berformat Peperiksaan
Lengkapkan ayat-ayat berikut dengan memilih jawapan yang paling sesuai.

1. “Orang yang berada di dalam bilik itu __________?”tanya Amin kepada Ainun.

A. apa
B. siapa
C. apa-apa
D. siapa-siapa


2. ____________ yang dibaca oleh Husna ketika berada di dalam kelas itu?

A. Apa
B. Apakah
C. Manakah
D. Siapakah


3. “Ada ____________ yang tidak bersetuju dengan cadangan ayah?” tanya ayah kepada anak-anaknya.

A. apa
B. siapa
C. sesiapa
D. mana-mana


4. “Dalam kalangan kamu, _____________kah yang ingin menyertai perkhemahan ini?” tanya guru penasihat kepada pelajarnya.

A. mana
B. siapa
C. siapa-siapa
D. mana-mana


5. “Awak hendak lekatkan lukisan itu pada ___________?”tanya ibu.

A. apa
B. siapa
C. mana
D. sesiapa